KUALA LUMPUR 26 Jun - Public Investment Bank Berhad (PublicInvest) mengekalkan jangkaan bahawa kadar inflasi utama di Malaysia kekal antara 3% hingga 3.5% pada tahun ini.
Firma itu berkata, keadaan itu bagaimanapun tertakluk kepada sebarang pindaaan pada had harga minyak runcit atau pelaksanaan langkah kawalan harga.
Katanya, inflasi teras dijangka berterusan pada paras tinggi disebabkan keadaan permintaan yang kukuh.
Selain itu, pelaksanaan kawalan harga dan subsidi bahan api akan mengurangkan sebahagian daripada tekanan inflasi, bertindak sebagai faktor pengehad.
"Prospek inflasi kekal terdedah kepada potensi perubahan dalam dasar domestik berkaitan subsidi dan kawalan harga, serta perkembangan dalam pasaran kewangan dan harga komoditi global.
"Kami menjangkakan siling subsidi untuk RON 95 dan diesel, yang kini ditetapkan masing-masing pada RM2.05 dan RM2.15 seliter, mungkin menjalani semakan dan berpotensi menyaksikan peningkatan secara beransur-ansur pada bahagian akhir tahun atau awal tahun depan.
"Bagaimanapun, kerajaan sebelum ini memilih untuk meneruskan pemberian subsidi untuk ayam dan telur, sekali gus mengurangkan kebimbangan mengenai potensi tekanan harga dalam masa terdekat," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Pada masa sama, firma itu percaya bahawa keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan menentukan hala tuju dan ketegasan pembaharuan dasar yang dijalankan oleh kerajaan.
"Tanpa subsidi petrol, harga sebenar RON95 dianggarkan sekitar RM3.22/liter, berbanding harga semasa RM2.05/liter.
"Penghapusan subsidi bahan api untuk kumpulan pendapatan T20 diunjurkan menghasilkan kesan inflasi tahunan tambahan sebanyak 0.45-0.75ppts," katanya.
Sementara itu, firma itu berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) mungkin mengekalkan pendirian dasar monetari semasanya pada 3% untuk baki tahun ini.
Firma itu berkata, kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) sebelum ini adalah langkah proaktif untuk mengurangkan potensi risiko ekonomi, kerana penangguhan tindakan boleh membuktikan lebih banyak kos untuk ekonomi pada masa hadapan.
"Kami menjangkakan BNM akan menggunakan pendekatan berhati-hati, memantau dengan teliti perkembangan penting dalam dasar bank pusat," katanya. - DagangNews.com