PublicInvest menilai Elridge yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 46 sen | DagangNews Skip to main content

PublicInvest menilai Elridge yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 46 sen

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Public Investment Bank Research (Publicinvest) memberi harga wajar 46 sen terhadap pengeluar produk bahan api biojisim, Elridge Energy Holdings Bhd yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Saranan itu adalah berdasarkan kepada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sebanyak 20x daripada pendapatan sesahamnya sebanyak 2.3 sen bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pertumbuhan kumpulan didorong oleh pengembangan kapasiti pengeluarannya dengan penubuhan tiga kilang baharu.

 

"Kekuatan daya saing kumpulan termasuk lokasi strategik Kilang Pelabuhan Klang yang serba lengkap, pematuhan kepada keperluan yang ditetapkan oleh pelanggan tempatan dan asing, kebolehgunaan dalam pelbagai industri pengguna akhir, rangkaian pembekal besar dan pasukan pengurusan yang berpengalaman.

 

"Pemacu utama termasuk permintaan berterusan untuk produk bahan api biojisim, terutamanya perusahaan kecil an sederhana (PKS), disokong inisiatif tenaga boleh diperbaharui (RE), peningkatan permintaan daripada industri pengguna akhir dan ketersediaan bahan mentah di Malaysia," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Elridge Energy sasar kumpul RM101.5 juta daripada IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia

 

PublicInvest berkata, kumpulan itu merancang penubuhan tiga kilang baharu untuk meningkatkan pengeluaran dengan menggunakan hasil daripada terbitan tawaran awam permulaan (IPO) iaitu di Pasir Gudang dan Lahad Datu dengan setiap kilang dilengkapi dua barisan pengeluaran PKS dengan kapasiti tahunan 240,000 MT dan terletak berhampiran pelabuhan.

 

Katanya, di Kuantan, Elridge akan membina kemudahan baharu dengan kapasiti yang sama dan mungkin menubuhkan kilang sementara sementara menunggu siap.

 

"Lokasi baharu itu, dijangka mula beroperasi pada 4QFY24 (Pasir Gudang dan Kuantan) dan 2QFY25 (Lahad Datu), bertujuan mengurangkan kos pengangkutan dan pergantungan kepada Pelabuhan Klang," katanya.

 

Kumpulan itu menghasilkan dan memperdagangkan bahan api biojisim, terutamanya kulit isirung sawit dan pelet kayu, yang digunakan untuk menjana haba atau elektrik. 

 

Produk biojisim merupakan hasil sampingan atau sisa daripada sumber boleh diperbaharui, seperti tumbuhan atau sisa organik.

 

Elridge Energy menyasarkan untuk mengumpul RM101.5 juta daripada pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO), menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia 22 Ogos 2024.

 

IPO berharga 29 sen sesaham, membabitkan terbitan awam sebanyak 350 juta saham baharu, menurut prospektusnya. - DagangNews.com