PublicInvest nilai harga wajar Alpha IVF Group yang bakal disenarai di Pasaran ACE pada 38 sen | DagangNews Skip to main content

PublicInvest nilai harga wajar Alpha IVF Group yang bakal disenarai di Pasaran ACE pada 38 sen

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Mac - Public Investment Bank (PublicInvest) memberi harga wajar 38 sen kepada pusat rawatan kesuburan, Alpha IVF Group Bhd yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 22 Mac 2024.

 

Nilai wajar itu adalah berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) pada 25 kali ganda terhadap pendapatan bagi 2025.

 

Firma penyelidikan itu berkata, tawaran awam permulaan (IPO) itu dijangka mengumpul kira-kira RM116.6 juta daripada terbitan 364.5 juta saham baharu.

 

Selain menggunakan 14.7% daripada hasil sebagai modal kerja am, 62.4% daripada hasil akan diperuntukkan untuk pengembangan geografi manakala 13.5% untuk pembesaran dan peningkatan pusat perubatan, kemudahan dan pejabat korporat sedia ada.

 

"Kekuatan daya saing Alpha IVF termasuk rekod prestasi cemerlang, pasukan yang berpengalaman, kepelbagaian geografi, penyelarasan kemudahan pelancongan perubatan, pusat pakar yang serba lengkap, kerjasama aktif dan penyelidikan berterusan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

PublicInvest berkata, pemacu utama perkembangan kumpulan itu termasuk penurunan kadar kesuburan selain pertumbuhan yang teguh untuk industri pelancongan penjagaan kesihatan di negara ini.

 

Katanya, ia juga didorong kesedaran yang semakin meningkat terhadap rawatan yang tersedia bagi perkhidmatan reproduktif  dan insentif kerajaan bagi mengurangkan kos perkhidmatan reproduktif.

 

"Bagaimanapun antara risiko yang bakal dihadapi termasuk industri berdaya saing, potensi perubahan dalam trend demografi dan potensi penurunan dalam industri pelancongan penjagaan kesihatan.

 

"Selian itu mereka juga berdepan potensi perubahan dalam peraturan penjagaan kesihatan dan pergantungan kepada Zuellig Group yang pembekal utamanya,” katanya. - DagangNews.com