PublicInvest optimis terhadap prospek jangka panjang I-Berhad | DagangNews Skip to main content

PublicInvest optimis terhadap prospek jangka panjang I-Berhad

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Public Investment Bank Berhad (PublicInvest Research) optimis terhadap prospek masa depan I-Berhad.

 

Katanya, kumpulan itu mempunyai potensi besar bagi pertumbuhan jangka panjang dengan kira-kira 50% daripada nilai pembangunan kasar pemaju berjumlah RM5 bilion, masih belum direalisasikan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pengurusan kumpulan itu memberi tumpuan kepada pengembangan dan peningkatan portfolio pelaburan hartanah dan segmen riadah dan hospitalitinya, yang dijangka memberi kesan positif kepada perancangan pembangunan hartanahnya.

 

"Bergantung kepada keadaan pasaran, kumpulan itu bersedia melancarkan projek AI Central Park, yang merangkumi dua menara korporat dan satu menara kediaman dengan nilai pembangunan kasar (GDV) bernilai RM600 juta.

 

"Kami mengekalkan penarafan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 32 sen, yang mencerminkan diskaun 50% kepada nilai buku berbanding purata industri sebanyak 40%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih RM5.4 juta bagi suku kedua2024 (2QFY24), peningkatan 199.7% tahun ke tahun dan kenaikan 33.8% dari suku tahun ke suku tahun (QoQ).

 

Ini menjadikan keuntungan bersih bagi separuh pertama 2024 (1HFY24) kepada RM9.5 juta, meningkat 281.8% YoY, yang sejajar dengan jangkaan firma pada 49% daripada anggaran tahun penuh.

 

PublicInvest Research berkata, walaupun segmen riadah dan hospitaliti telah menjadi pemacu utama pertumbuhan pendapatan dan keuntungan, suku ini juga menyaksikan peningkatan sumbangan daripada segmen pembangunan hartanah, walaupun masih terdapat pelancaran baharu yang terhad.

 

Kumpulan itu menyatakan semasa pecah tanah minggu lepas, penambahan tarikan baharu ini di i-City, bersama-sama dengan DoubleTree by Hilton yang dibuka tahun lepas dan tarikan sedia ada lain, dijangka mempercepatkan aktiviti perniagaan dan riadah di Shah Alam dan terus menarik pelawat tempatan mahupun antarabangsa. - DagangNews.com