PublicInvest semak turun unjuran pendapatan Poh Huat bagi FY23-FY25 kesan penurunan perbelanjaan isi rumah | DagangNews Skip to main content

PublicInvest semak turun unjuran pendapatan Poh Huat bagi FY23-FY25 kesan penurunan perbelanjaan isi rumah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Jun - Public Investment Bank Berhad (PublicInvest) menyemak turun unjuran pendapatan Poh Huat Resources Holding Berhad bagi FY23-FY25 antara 23% hingga 42% kesan daripada penurunan perbelanjaan isi rumah.

 

Firma itu berkata, unjuran itu adalah berdasarkan kepada perbelanjaan yang lebih rendah daripada jangkaan untuk perabot.

 

Katanya, walaupun kumpulan itu berkemungkinan akan mendapat manfaat daripada pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS), firma itu berpendapat bahawa impak positif tidak akan dapat menampung secukupnya penurunan permintaan perabot.

 

"Kami terus meramalkan pendapatan yang lebih lemah untuk kumpulan itu kerana permintaan perabot dijangka kekal perlahan, memandangkan pasaran hartanah yang lemah terutamanya di AS kesan persekitaran kadar faedah yang meningkat.

 

"Penjualan rumah baharu AS untuk empat bulan pertama 2023 (4M23) secara kumulatif menurun sebanyak 10% kepada 2.6 juta unit," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, hasil bagi 2QFY23 menyusut sebanyak 48.9% dari tahun ke tahun kepada RM95.3 juta.

 

Perolehan yang lebih rendah itu disebabkan terutamanya oleh penyah stok dalam inventori dalam kalangan pelanggan kumpulan terutamanya di AS dan normalisasi dalam perbelanjaan isi rumah berikutan lonjakan dalam jualan perabot semasa tempoh penutupan COVID-19.

 

Operasi Malaysia (-38.9% dari tahun ke tahun) menyaksikan pendapatannya jatuh pada kuantum yang lebih kecil berbanding dengan operasi Vietnam (-56.6% dari tahun ke tahun) mungkin disebabkan oleh permintaan yang lebih baik untuk perabot pejabat berasaskan panel.

 

Firma itu kekal dengan saranan 'neutral' pada harga sasaran (TP) RM1.16 sesaham. - DagangNews.com