Punca kebakaran kabel di Jambatan Pulau Pinang bukan `semula jadi' atau `khianat' | DagangNews Skip to main content

Punca kebakaran kabel di Jambatan Pulau Pinang bukan `semula jadi' atau `khianat'

 

KUALA LUMPUR 7 Mac - Siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat ke atas kebakaran kabel di Jambatan Pulau Pinang pada 22 Februari lalu, mendapati ia tidak berlaku secara semula jadi dan bukan juga khianat.

 

Laporan Bomba negeri bertarikh 5 Mac menyatakan berlaku arka elektrik (electrical arc) pada kabel di KM3.2 dan terkena kayu pelantar menyebabkan pemanasan setempat, seterusnya berlaku kebakaran.

 

“Berdasarkan maklumat pihak JBPM ini, kejadian kebakaran bukanlah secara semula jadi atau khianat (incendiary). Siasatan sedang dibuat bagi menentusahkan apakah faktor menyebabkan pancaran arka tersebut.

 

“TNB dan lain-lain pihak yang berkaitan dalam hal ini, masing-masing menjalankan siasatan secara berasingan bagi mengenal pasti penyebab pancaran arka itu,” kata Ketua Pegawai Grid Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Ir. Husaini Husin dalam kenyataan di sini hari ini.

 

tnb

 

Sementara itu, kerja-kerja baik pulih kabel elektrik yang terbakar di bawah Jambatan Pulau Pinang, dipendekkan seminggu dari jadual asal 118 hari, berikutan kerja menanggalkan struktur sokongan kabel dan kabel yang rosak dapat disiapkan dalam tempoh empat hari sahaja dan berakhir hari ini.

 

Husaini berkata, berdasarkan jadual terkini, tempoh kerja pembaikan oleh pihak TNB dan PLUS adalah 112 hari sahaja.

 

"Kami dapat memendekkan tempoh menanggalkan struktur sokongan kabel dan kabel yang rosak yang bermula 4 Mac lalu, tujuh hari lebih awal,” katanya.

 

Kerja yang disiapkan awal ini membolehkan pihak PLUS menyegerakan siasatan terhadap keadaan struktur dan kerja-kerja baik pulih jambatan yang dijangkakan mengambil masa dua bulan, mulai esok.

 

Husni menjelaskan kerja-kerja baik pulih kabel 132kV yang terbakar di Kilometer 3.2, Jambatan Pulau Pinang antara lain merangkumi penggantian tiga litar kabel yang musnah terbakar dengan kabel baru sepanjang kira-kira 100 meter.

 

tnb

 

Selain itu TNB juga akan membuat kerja-kerja merentang kabel, penyambungan kabel (cable jointing) dan penggantian struktur sesalur kabel (wooden platform) yang musnah terbakar dengan yang baru.

 

“Kaedah pelaksanaan kerja oleh pihak TNB tidak mengganggu aliran trafik Jambatan Pulau Pinang. Akses kerja adalah melalui laut dan menggunakan barge daripada mula sehingga akhir pada 23 Jun 2021,” katanya.  - DagangNews.com