KUALA LUMPUR 5 Okt. - Punca pencemaran air mentah yang mengakibatkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihentikan operasi sejak semalam, masih belum dapat dikenal pasti.
Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Suhaimi Kamaralzaman berkata, sehingga jam 12:30 tengah hari, pencemaran masih lagi dikesan di Sungai Batang Benar, Negeri Sembilan dan berada pada tahap 18 TON, manakala bacaan di muka sauk LRA Sungai Semenyih adalah pada 9 TON dan bacaan di muka sauk LRA Bukit Tampoi pada 8 TON.
"Buat masa ini, pihak-pihak yang bertanggungjawab masih belum dapat mengenalpasti punca pencemaran," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Henti tugas ini menyebabkan Air Selangor tidak dapat menghasilkan air sebanyak 602 juta liter sehari untuk dibekalkan kepada para pengguna di 274 kawasan dan gangguan bekalan air tidak berjadual dijangka akan mengambil masa yang lama untuk pulih sepenuhnya kerana kedua-dua loji telah dihenti tugas selama 20 jam.
Sejak jam 8 pagi tadi, Air Selangor telah menggerakkan sebanyak 64 lori tangki air ke premis-premis kritikal, sekolah-sekolah serta kawasan perumahan yang terjejas. Sebanyak 14 tangki statik, 7 stesen pengisian setempat, 9 PKS dan 10 pili awam juga disediakan untuk kemudahan para pengguna yang terjejas. Senarai kawasan pili awam dan PKS seperti di Lampiran A.
"Air Selangor menyarankan kepada pengguna-pengguna untuk mengambil bekalan air bersih di pili-pili awam kerana bantuan melalui lori-lori tangki air adalah diutamakan kepada premis-premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis.
"Para pengguna juga boleh mendapatkan maklumat dan bantuan bekalan air bersih di Pusat Khidmat Setempat yang telah disediakan," katanya.
Air Selangor akan mengemaskini maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman web www.airselangor.com.
Para pengguna juga digalakkan untuk memuat turun aplikasi telefon pintar Air Selangor di Google Play atau Apps Store untuk mendapatkan maklumat terkini bekalan air. - DagangNews.com