Puncak Niaga positif beri nilai tambah dari segi kewangan dan kestabilan kepada pihak berkepentingan | DagangNews Skip to main content

Puncak Niaga positif beri nilai tambah dari segi kewangan dan kestabilan kepada pihak berkepentingan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 April - Puncak Niaga Holdings Berhad kekal positif untuk memberikan nilai tambah kepada pihak berkepentingan terutama dari segi kewangan dan kestabilan perniagaan pada masa hadapan.

 

Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Rozali Ismail kekal positif walaupun negara sedang berusaha untuk mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan dasar monetari yang lebih ketat.

 

Katanya, Bank Negara Malaysia (BNM) menjangkakan pengembangan ekonomi negara menjadi sederhana kepada 4.5% pada 2023 dan ia dijangka memberi kesan kepada eksport Malaysia.

 

"Kami kekal positif untuk memberikan nilai kepada pihak berkepentingan kami dari segi kewangan yang kestabilan.

 

"Kami percaya terdapat peluang untuk mendapatkan projek besar baharu, terutamanya apabila kerajaan baharu memulihkan projek infrastruktur dan utiliti pada tahun ini di sebalik Bajet 2023 yang lebih besar, dengan sektor pembinaan dilihat sebagai antara penerima manfaatnya.

 

rozali
Tan Sri Rozali Ismail

 

"Memanfaatkan kekuatan teras Pasukan Puncak Niaga dan rekod prestasi kami yang terbukti, kami yakin dalam mengenal pasti sumber baharu pertumbuhan jangka panjang dan mampan untuk kumpulan," katanya dalam Laporan Tahunan 2022, hari ini.

 

Beliau berkata, Malaysia tetap berhadapan risiko luaran terutama kemelesetan ekonomi di Amerika Syarikat (AS) selain konflik Ukraine-Rusia yang berterusan selain krisis tenaga yang semakin runcing di Eropah.

 

Katanya, peningkatan kes COVID-19 di China juga boleh mencetuskan kebimbangan tentang kemunculan varian atau sub varian baharu.

 

Bagaimanapun, pertukaran dasar China akhirnya boleh menyokong pertumbuhan pada masa hadapan.

 

"Selain itu krisis tenaga dan makanan selain suhu panas melampau dan kemarau di seluruh Eropah dan Asia Tengah serta selatan dijangka mengganggu perkembangan masa hadapan disebabkan perubahan iklim.

 

"Perubahan iklim memberi bayangan bahawa banyak tindakan progresif perlu dilakukan bagi menangani sebarang perubahan iklim yang ketara," katanya. - DagangNews.com