PUO teroka kemahiran AI, robotik dengan Politeknik Korea Selatan | DagangNews Skip to main content

PUO teroka kemahiran AI, robotik dengan Politeknik Korea Selatan

Pelajar PUO dapat meneroka kemahiran AI, IoT dan robotik daripada pelajar Politeknik Korea.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 19 Ogos - Seiring dengan kemajuan teknologi industri, Politeknik Ungku Omar (PUO) menjalinkan kerjasama akademik dengan institusi pengajian luar negara pada Program Mobiliti Pelajar Antarabangsa.

 

Ia melibatkan 15 pelajar Politeknik Korea Selatan, Kampus Seoul Jongsun bersama pensyarah yang berkunjung ke kampus PUO Ipoh di sini.

 

Program ini telah membuka kerjasama baharu pengajaran dan pembelajaran dalam bidang kecerdasan buatan (AI), internet benda (IoT) dan robotik melibatkan pelajar kedua-dua institusi.

 

Dalam Masyarakat 5.0, teknologi seperti AI dan IoT digunakan dalam banyak perkara seperti untuk bandar pintar, meningkatkan sistem penjagaan kesihatan dan membangunkan sektor pertanian pintar. 

 

Perak
Pelajar kedua-dua institusi dapat berkongsi pengetahuan menerusi bengkel yang diadakan.

 

Program ini juga mendapat sokongan daripada pihak industri, Galaxy Group of Companies.

 

Pengarah PUO, Dr. Shamsuri Abdullah berkata, program mobiliti antarabangsa ini menawarkan pendedahan dan latihan praktikal mengenai penggunaan teknologi terkini dalam 3 bidang tersebut.

 

Katanya, pelajar PUO yang terlibat dapat mempelajari teknologi AI, IoT dan robotik melalui perkongsian pengetahuan dan kepakaran dari Politeknik Korea. 

 

“Pelajar dari kedua-dua negara berpeluang meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka dalam bidang yang semakin penting ini.

 

“PUO juga menerima 20 kit pembelajaran Robotik IoT dari Politeknik Korea, Seoul.

 

Perak

 

Perak

 

“Kit ini bertujuan membantu pelajar PUO dalam meneruskan sesi pembelajaran dan eksplorasi ilmu melalui pendekatan pembelajaran interaktif,” ujarnya.

 

Bengkel ini telah menghasilkan dua projek utama iaitu projek implementasi rumah pintar menggunakan Teknologi AI dan IoT berdasarkan peranti pengkomputeran fizikal.

 

Projek kedua ialah implementasi lengan robotik menggunakan teknologi AI dan Open-CV.

 

Mengulas lanjut jelas Shamsuri, sinergi strategik dan perkongsian pintar antara kedua-dua institusi dan pihak industri memberikan nilai tambah kepada perkembangan pengetahuan dan kemahiran pelajar.

 

Perak
Shamsuri (barisan hadapan empat dari kiri) bersama pelajar PUO dan delegasi Politeknik Korea Selatan yang terlibat pada Program Mobiliti Pelajar Antarabangsa di Ipoh.

 

Tambah beliau, ini sebagai persediaan menghadapi cabaran perkembangan teknologi masa kini dan akan datang.

 

“PUO sentiasa komited dalam menawarkan program pengajian yang relevan dengan keperluan industri,” ujarnya. - DagangNews.com