KUALA LUMPUR 19 April - Prestasi jualan pusat beli-belah milik Sunway melebihi unjuran selepas mencatatkan pertumbuhan 19% pada suku pertama 2023, disokong oleh perayaan dan permintaan yang semakin meningkat untuk makan di luar rumah.
Pengendali kumpulan pusat beli-belah itu merekodkan pertumbuhan jualan sebanyak 12% pada Januari, 25% pada Februari dan 22% pada Mac.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Beli-belah dan Taman Tema Sunway, HC Chan berkata, pihaknya bermula baik dengan prestasi kukuh dan berada di landasan tepat untuk meneruskan perkembangan bagi suku berikutnya.
Beliau berkata, pertumbuhan jualan itu sebahagian besarnya dipacu oleh segmen berkaitan perjalanan, hiburan, fesyen, kecantikan, makanan danminuman (F&B), kesihatan dan penjagaan diri.
Susulan pembukaan sempadan antarabangsa, kategori berkaitan perjalanan melonjak 178%.
Tayangan filem dan permintaan positif untuk aktiviti masa lapang telah meningkatkan segmen hiburannya sebanyak 52%, manakala segmen kesihatan dan penjagaan diri bertambah baik sebanyak 21% dan fesyen sebanyak 24%.
Selain itu, segmen F&B menjadi antara 20 kategori jualan teratas kumpulan.
“Ini seiring dengan penguasaan kategori F&B yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini apabila ia menghuni 25% hingga 30%daripada jumlah kawasan boleh disewa bersih.
“Trend dijangka terus berkembang kepada 35% hingga 40% dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Bernama.
Pengendali kumpulan pusat beli-belah itu mengalami beberapa cabaran utama semasa termasuk tekanan inflasi, kekurangan tenaga kerja, gangguan rantaian bekalan global, kenaikan kadar faedah dan tarif yang terus menyebabkan kos perniagaan meningkat selain membebankan margin dan keuntungan bagitahun tersebut.
Bagaimanapun, mereka kekal optimis memandangkan rekod prestasi yang terbukti, penjenamaan yang kukuh dan rangkaian rakan kongsi runcit serta telah meneruskan mod pengembangan dengan pembangunan lebih banyak ruang runcit.
Syarikat itu juga memaklumkan bahawa pihaknya akan menjalankan langkah Inisiatif Peningkatan Aset di pusat beli-belah Sunway Pyramid dan Sunway Carnival, selain memaklumkan rancangan untuk membina pusat beli-belah dengan ruang runcit seluas satu juta kaki persegi di Sunway City Ipoh, yang dijangka siap menjelang 2025. - DagangNews.com