Qatar Airways Cargo, MASkargo meterai MoU tingkatkan penawaran produk serta sinergi operasi perniagaan | DagangNews Skip to main content

Qatar Airways Cargo, MASkargo meterai MoU tingkatkan penawaran produk serta sinergi operasi perniagaan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Jun - Qatar Airways Group dan Malaysia Aviation Group terus mengukuhkan kerjasama mereka dengan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara Qatar Airways Cargo dan MASkargo. 

 

Perjanjian itu antara lain bertujuan meningkatkan penawaran produk kargo dan sinergi operasi antara kedua-dua syarikat penerbangan.

 

Menerusi perkongsian itu, pelanggan MASkargo akan mendapat akses kepada rangkaian global Qatar Airways Cargo, manakala pelanggan Qatar Airways Cargo akan mendapat manfaat daripada peningkatan akses kepada pasaran Asia Pasifik, termasuk destinasi baharu dan kapasiti tambahan.

 

"Kedua-dua syarikat penerbangan akan memanfaatkan kekuatan rangkaian dan kapasiti armada masing-masing, menggunakan hab di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. 

 

"Perjanjian itu disokong oleh rancangan pengembangan Qatar Airways Cargo di Terminal Kargonya di Doha," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Qatar Airways Group, Badr Mohammed Al-Meer berkata, perjanjian baharu bersama Malaysia Aviation Group adalah bukti hubungan yang semakin erat dengan Malaysia dan pasaran Asia Pasifik yang penting.

 

"Kerjasama strategik dengan rakan kongsi kami ini akan berfungsi untuk menghubungkan rangkaian pengangkut dengan penawaran dan kapasiti produk kargo, membolehkan kami mengukuhkan lagi hubungan dan memupuk hubungan rapat antara syarikat Penerbangan," katanya.

 

Pengarah Urusan Malaysia Aviation Group, Kapten Izham Ismail berkata, perluasan perkongsian dengan Qatar Airways Cargo menandakan satu kejayaan penting bagi MASkargo.

 

Beliau berkata, kerjasama itu bukan sahaja akan meningkatkan penawaran produk dan keupayaan operasi tetapi juga mengukuhkan kedudukan mereka dalam pasaran kargo global.

 

"Dengan memanfaatkan kekuatan masing-masing, kami bersedia untuk menyampaikan perkhidmatan yang cemerlang kepada pelanggan dan mencapai pertumbuhan yang luar biasa," katanya. - DagangNews.com