QES catat peningkatan untung sebelum cukai sebanyak 147.6% kepada RM13.1 juta pada 3QFY22 | DagangNews Skip to main content

QES catat peningkatan untung sebelum cukai sebanyak 147.6% kepada RM13.1 juta pada 3QFY22

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Nov - QES Group Berhad (QES) mencatatkan peningkatan keuntungan sebelum cukai (PBT) bagi 3QFY22 sebanyak 147.6% kepada RM13.1 juta berbanding RM5.29 juta pada tahun sebelumnya.

 

Kumpulan itu mencatatkan prestasi cemerlang di rantau Asia Tenggara dengan Malaysia mencatatkan peningkatan hasil sebnayak 75.6% kepada RM31.9 juta manakala hasil bagi operasi di Singapura melonjak kepada RM18.2 juta atau peningkatan 193.5% berbanding 2QFY22.

 

Kumpulan itu juga merekodkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM9.5 juta dan peningkatan itu disebabkan jualan yang lebih tinggi daripada bahagian pengedaran sebanyak 29.6% dan bahagian pembuatan sebanyak 130.0%.

 

Aliran tunai dan kunci kira-kiranya kekal kukuh dengan tunai dan setara tunai pada RM72.3 juta.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Presiden QES, Chew Ne Weng berkata, kumpulan itu menunjukkan perkembangan positif dengan momentum berterusan dalam industri semikonduktor yang sudah pasti membawa kepada keuntungan luar biasa.

 

"Walaupun prospek industri semikonduktor baru-baru ini telah diturunkan taraf terutamanya untuk memori, komputer peribadi dan aplikasi telefon mudah alih, kami terus melihat peningkatan permintaan daripada aplikasi automotif dan industri,” katanya.

 

Beliau berkata, pihaknya kekal optimis dengan permintaan keseluruhan industri semikonduktor selepas mengambil kira perkembangan kenderaan elektrik (EV), 5G, Kecerdasan Buatan (IA), Pusat Data dan Internet Kebendaan (IoT) yang memerlukan cip berkuasa tinggi. 

 

"QES sedang dalam proses menubuhkan anak syarikat baharu di China bagi mengembangkan hasil perniagaan daripada produk perkilangan dan pada masa sama meneroka peluang untuk menjalinkan perkongsian strategik dengan syarikat tempatan,” katanya. - DagangNews.com