QR Malaysia-Thailand: GHL berpotensi raih keuntungan tinggi | DagangNews Skip to main content

QR Malaysia-Thailand: GHL berpotensi raih keuntungan tinggi

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 24 Jun - GHL Systems Berhad yang merupakan sebuah syarikat pemproses bayaran berada dalam kedudukan baik untuk mengaut keuntungan menerusi pelancaran kod QR rentas sempadan antara Malaysia dan Thailand yang membolehkan pembayaran menerusi e-dompet dari negara masing-masing. 

 

Ini akan melonjakkan jumlah pembayaran digital apabila sempadan negara dibuka semula, seterusnya GHL berpotensi menerima manfaat daripada lebih 383,600 titik penerimaan pembayaran digital di ASEAN kelak, menurut penganalisis di Kenanga Research, Samuel Tan. 

 

Sebagai rekod, ini merupakan liputan pertama Kenanga ke atas GHL. 

 

“Kami menjangkakan pertumbuhan 4.3% dalam hasil tahun kewangan 2021 (FY21) kepada RM348.8 juta dengan 8.4% peningkatan dalam keuntungan bersih kepada RM33.5 juta. 

 

“Kami percaya FY22 akan menonjolkan lagi potensi pertumbuhan GHL dengan jangkaan pandemik ini akan berakhir dan perjalanan rentas sempadan akan bermula dengan beransur-ansur. 

 

“Kami menjangkakan jumlah nilai diproses (TPV) akan melonjak sebanyak 50% pada FY22 yang diterjemahkan ke dalam hasil berjumlah RM475.3 juta (+36%) dan keuntungan bersih sebanyak RM47.5 juta (+42%),” jelas Tan dalam satu nota kajian pertama mengenai GHL hari ini.

 

Sebagai pemproses bayaran, GHL bertindak sebagai pengantaraan untuk pedagang (merchant) menerima bayaran menerusi perkakasan (terminal EDC) atau perisian (gerbang pembayaran e-GHL) untuk melancarkan bayaran melalui skim kad yang diiktiraf di pasaran.

 

Baca : Jalinan pembayaran QR rentas sempadan antara Malaysia-Thailand dilancar

 

Bagaimanapun, e-dompet yang mula diperkenalkan sejak tiga hingga empat tahun lalu telah menjadi pemangkin kepada prestasi kewangan GHL memandangkan perkembangan itu meluaskan lagi ruang pembayaran digital termasuk penguasaan pasaran kumpulan.

 

Tambah Tan, GHL yang melihat terdapat peluang dalam pasaran perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengambil inisiatif untuk bertindak sebagai pemerolehan pihak ketiga buat pedagang PKS, terutamanya mereka yang tidak mempunyai akses kepada perkhidmatan sepatutnya. 

 

Menerusi inisiatif ini, syarikat kecil dan mikro dapat mengelakkan kerumitan melalui masa menunggu lama dan dokumentasi bank yang panjang.

 

“Dengan memfokuskan kepada pendekatan serampang dua mata, GHL akan dapat memperluas penguasaan pasarannya dan dengan itu mengembangkan pangkalan pendapatannya,” jelas Tan lanjut.

 

Kenanga mulakan liputan ke atas GHL dengan penarafan ‘outperform’ dengan harga sasaran (TP) pada kadar RM2.30 sesaham. 

 

Pemegang saham utama kumpulan terdiri daripada Actis Stark Mauritius Ltd (38.6%), Apis Partners LLP (10.0%) dan Tobikiri Capital Ltd (5.3%).

 

Setakat 12.22 tengah hari, harga saham GHL menyusut 2 sen kepada RM1.83. - DagangNews.com