Queensbay Mall, Plaza Gurney diunjur jadi pemacu utama pendapatan CapitaLand pada FY24 | DagangNews Skip to main content

Queensbay Mall, Plaza Gurney diunjur jadi pemacu utama pendapatan CapitaLand pada FY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Mac - Kenanga Research mengunjurkan Queensbay Mall (QBM) and Plaza Gurney di Pulau Pinang menjadi pemacu utama pendapatan CapitaLand Malaysia Trust (CLMT) pada FY24.

 

Katanya, kedua-dua pusat beli-belah itu menyumbang 76% daripada jumlah pendapatan CLMT pada FY23 dengan sebahagian besar bakinya disumbangkan daripada East Coast Mall, Kuantan.

 

"Memandangkan ekonomi berkembang pesat di Pulau Pinang dipacu oleh pelaburan langsung asing (FDI)dan pelancaran pelabagai projek infrastruktur awam mega, kami percaya ia akan memberikan kadar sewa yang lebih menggalakkan memandangkan kadar penghunian bagi aset itu adalah menghampiri 100%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.  

 

Firma penyelidikan itu berkata, terdapat banyak ruang untuk penambahbaikan kepada pusat beli-belahnya yang terletak di Lembah Klang.

 

Katanya, The Mines merupakan satu-satunya pusat beli-belah yang mampu menjana aliran tunai positif pada FY23 manakala Sungei Wang dan 3 Damansara terus mencatatkan kerugian.

 

"Saingan dijangka bertambah sengit dengan pembukaan pusat beli-belah baharu seperti Exchange TRX, Pavilion Damansara Heights (Fasa 1), Merdeka Mall 118 dan Pavilion Damansara Heights Fasa 2.

 

"Bagaimanapun, kadar penghunian di Sungei Wang meningkat kepada 87.2% pada Disember 2023 dengan pertambahan penyewa baharu berbanding 78.4% pada September 2023," katanya.

 

Pada masa sama, CLMT juga sedang menilai peluang di Johor setelah memperoleh pelbagai aset perindustrian di negeri itu.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'market perform' dengan harga sasaran (TP) 58 sen sesaham. - DagangNews.com