Radia Bukit Jelutong bakal menjadi hab pendidikan dengan kehadiran kampus NMUC | DagangNews Skip to main content

Radia Bukit Jelutong bakal menjadi hab pendidikan dengan kehadiran kampus NMUC

Datuk Ir. Mohd Idris Abdullah (kiri), Kenny Wong bersama Pengerusi Eksekutif NMUC, Datuk Kapten Razali Yaakob (kanan) memterai Memorandum Persefahaman (MoU) melibatkan pembangunan kampus pendidikan di Radia Bukit Jelutong.
 

 

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 5 Jan - UEM Sunrise Berhad dan Sime Darby Property Berhad memetrai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Netherlands Maritime University College (NMUC) bagi membangunkan sebuah kampus pendidikan di Radia Bukit Jelutong.

 

Pembinaan kampus itu akan menjadikan Radia Bukit Jelutong sebagai hab pendidikan serta lokasi perniagaan dan komersial yang menarik.

 

Radia Bukit Jelutong merupakan projek pembangunan Sime Darby Property Sunrise Development Sdn. Bhd. melibatkan syarikat yang ditubuhkan berdasarkan perkongsian bersama UEM Sunrise and Sime Darby Property. 

 

Berdasarkan kepada MoU berkenaan, NMUC akan mengambil sebanyak 24 unit komersial di Radia Bukit Jelutong berkeluasan 34,358 kaki persegi bermula dari tingkat tujuh hingga sembilan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM27.6 juta menerusi skim sewa untuk milik (RTO) yang ditawarkan.

 

Ketua Pegawai Pemasaran UEM Sunrise, Kenny Wong berkata, NMUC akan menjadi penarik utama kepada projek pembangunan itu selain menjadi pemangkin kepada perniagaan di situ.

 

"NMUC merupakan tambahan yang menarik kepada Radia dalam usaha menarik orang ramai selain memajukan perniagaan. 

 

"Kami teruja dengan peluang yang hadir bersama NMUC selain mengalu-alukan kehadiran pengendali perniagaan ke dalam komuniti ini," katanya dalam satu kenyataan.

 

Projek pembangunan bersepadu itu merupakan projek kerjasa sama yang berjaya di antara kedua-dua syarikat itu dan ia melibatkan kawasan seluas 2.7 juta kaki persegi merangkumi pembangunan kediaman dengan kemudahan di atas tapak berkeluasan empat ekar.

 

Radia Bukit Jelutong memiliki 640 unit pangsapuri, 400,000 kaki persegi ruang pejabat dan ruangan runcit berkeluasan 880,000 kaki persegi.

 

NMUC menyasarkan pendaftaran seramai 1,000 pelajar pada pembukaan semester yang akan membantu menjadikan Radia Bukit Jelutong dan kawasan sekitar seperti Shah Alam dan Subang Jaya sebagai tumpuan.

 

Terletak berhampiran padang bola bersaiz FIFA, Radia Bukit Jelutong akan menawarkan pelbagai kafe, pasar raya dan pelbagai perniagaan lain.

 

Ketua Pegawai Operasi Sime Darby Property - Pembangunan Bersepadu, Datuk Ir. Mohd Idris Abdullah berkata, pihaknya berbesar hati dengan kehadiran NMUC di Radia Bukit Jelutong yang dilihat akan membantu menarik lebih ramai golongan muda ke kawasan itu.

 

"Kerjasama ini akan memberikan nafas baharu kepada kawasan perbandaran sedia ada yang akan memberikan manfaat kepada penduduk serta pemilik perniagaan di Bukit Jelutong," katanya. - DagangNews.com