Radium umum pemberian dividen interim pertama sebanyak 1 sen | DagangNews Skip to main content

Radium umum pemberian dividen interim pertama sebanyak 1 sen

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Mac - Radium Development Berhad mengumumkan dividen interim satu peringkat pertama kepada pemegang sahamnya sebanyak 1 sen untuk sesaham biasa bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.

 

Kumpulan itu sebelum ini mencatatkan keuntungan kasar sebanyak RM19.8 juga bagi FY23, mampamerkan keupayaan syarikat menjana pendapatan positif ketika berdepan landskap pasaran yang kompetitif.

 

Syarikat itu juga mengekalkan nisbah penggearan kasar yang rendah sebanyak 0.05x, menggariskan amalan pengurusan kewangan berhemah serta asas kewangan yang kukuh dan sekali gus meletakkan mereka untuk pertumbuhan mampan dalam sektor pembangunan hartanah. 

 

Pengarah Urusan kumpulan, Datuk Gary Gan Kah Siong berkata, pertumbuhan pendapatan yang kukuh dan pelaburan strategik kumpulan membolehkan pihaknya bukan sahaja memenuhi komitmen tetapi juga memberi ganjaran kepada pemegang saham di atas sokongan berterusan mereka.

 

"Pengumuman dividen interim satu peringkat itu mengesahkan kekuatan kewangan dan kapasiti Radium bagi menyampaikan nilai kepada pemegang kepentingannya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, pengambilalihan tanah strategik Radium di Jalan Klang Lama dan pelancaran projek seperti Vista Adesa @ Desa Timur dan Radium Adesa @ Desa East Residences telah memacu pertumbuhan serta meningkatkan nilai pemegang saham.

 

Kadar penambilan yang tinggi untuk projek Vista Adesa dan Radium Adesa, masing-masing 60% dan 78%, menunjukkan permintaan pasaran yang kukuh dan keyakinan terhadap perkembangan kumpulan.

 

Selain itu, kerjasama Radium dengan MyCharge EV Sdn. Bhd. bagi menyepadukan pengecas kenderaan elektrik (EV) mempamerkan komitmen syarikat terhadap kelestarian. - DagangNews.com