Rafiq Razali kini Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima | DagangNews Skip to main content

Rafiq Razali kini Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima

Rafiq Razali

 

 

KUALA LUMPUR 1 Okt. - Media Prima Bhd. mengumumkan pelantikan Rafiq Razali sebagai Pengarah Urusan Kumpulan berkuat kuasa hari ini. 

 

Turut dilantik, Rosli Sabarudin sebagai Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan yang baharu.

 

Dalam kenyataan hari ini, Media Prima berkata, Rafiq mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang pembangunan perniagaan dan perancangan strategik dengan rekod prestasinya termasuklah dalam penubuhan dan penskalaan syarikat permulaan (start up) berkaitan digital dan teknologi maklumat.

 

"Rafiq menyertai Media Prima pada 15 April 2016 sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan REV Media dan seterusnya dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Kumpulan pada 18 Februari 2021.

 

"Beliau berjaya memimpin Media Prima menjadi antara syarikat media digital yang unggul di Malaysia dengan menyatukan strategi digital kumpulan dan meluaskan capaian digital serta aset-asetnya," katanya.

 

Rafiq memulakan kariernya di Maxis Bhd dengan memegang beberapa jawatan penting di bahagian Perniagaan Antarabangsa dan Strategi Korporat.

 

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid berkata, sekarang adalah masa yang sesuai untuk memberi laluan kepada pasukan kepemimpinan baharu.

 

"Pelantikan kedua-dua mereka memainkan peranan penting dalam memacu prestasi positif kumpulan sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

 

"Rafiq telah menerajui usaha-usaha transformasi kumpulan dan telah memainkan peranan utama dalam penambahbaikan operasi serta inisiatif-inisiatif pendigitalan di kesemua platform media kami sejak 2016," katanya. 

 

Syed Hussian menyifatkan beliau turut meletakkan Media Prima sebagai peneraju industri tempatan dalam dunia digital. - DagangNews.com