KUALA LUMPUR 8 Dis - Rakuten Trade Research mengunjurkan prospek positif terhadap CPE Technology Berhad didorong pengembangan industri sokongan kejuruteraan (ESI) kepada RM13.88 bilion pada 2027.
Katanya, kumpulan itu bersedia untuk memacu pertumbuhan menerusi kilang baharunya dan memperuntukkan RM69.6 juta daripada hasil tawaran awam permulaan (IPO) bagi pembinaannya dengan kilang itu dijadual siap pada separuh kedua 2025.
Kilang baharu itu menandakan peningkatan ketara 245.32% daripada 96,586 kaki persegi pada masa ini kepada 333,534 kaki persegi.
"Sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhannya, kumpulan itu berhasrat meningkatkan keupayaan pengeluarannya melalui pelaburan RM32.9 juta dalam mesin dan peralatan baharu.
"Selain itu, mereka telah memperuntukkan RM7 juta bagi mendapatkan bahan mentah," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, kumpulan itu membuat penampilan di Utama Bursa Malaysia hari ini pada harga 90 sen sesaham, mewakili diskaun 17 sen atau 15.89% daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) iaitu RM1.07 dengan volum pembukaan 6.31 juta saham.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menjangkakann pertumbuhan pendapatan positif dengan purata sekitar 12% bagi FY24 hingga FY26 didorong oleh buku pesanan tidak dibilkan sebanyak RM69.27 juta pada 23 Oktober.
Pada masa sama ia dibantu perkembangan berterusan dalam pasaran pengguna akhir merentas sub-industri yang terlibat.
"Kami mengekalkan saran 'beli' dengan harga wajat (FV) RM1.18 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com