Rakuten Trade unjur Cape EMS catat untung bersih RM68.2 juta pada FY24 disokong perniagaan berteraskan teknologi 5G | DagangNews Skip to main content

Rakuten Trade unjur Cape EMS catat untung bersih RM68.2 juta pada FY24 disokong perniagaan berteraskan teknologi 5G

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Mac - Rakuten Trade mengunjurkan Cape EMS Bhd mencatatkan untung bersih sebanyak RM68.2 juta bagi FY24 disokong perkembangan perniagaan yang berteraskan teknologi 5G.

 

Katanya, FY24 menyediakan prospek positif kepada kumpulan terutama bagi perniagaan komunikasi tanpa wayar, pusat data, segmen kenderaan elektrik dan rokok elektronik.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Mimosa Network yang merupakan pelanggan mereka berjaya berkembang ke pasaran baharu dan pencapaian itu mengkuhkan komitmen mereka untuk menyalurkan pesanan yang lebih tinggi kepada kumpulan khususnya dalam segmen komunikasi tanpa wayar.

 

"Kami menganggarkan kumpulan itu berada di landasan yang tepat untuk memenuhi ramalan pesanan FY24 kami, dengan penghantaran dijangka dalam tempoh enam bulan akan datang," katanya dalam satu nota kajian.

 

Rakuten Trade berkata, pengambilalihan iConn Inc oleh CEB, yang dijangka siap pada suku pertama FY24 (1QFY24), bertujuan untuk menyepadukan keupayaan reka bentuk dan kejuruteraan, terutamanya dalam segmen EV.

 

Katanya, langkah strategik itu dijangka meningkatkan dan mempelbagaikan rangkaian perkhidmatan dalam segmen perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS)

 

"Kumpulan itu kini dalam proses mendapatkan kelayakan untuk barisan pengeluarannya, dengan pengeluaran besar-besaran dijadualkan pada 2QFY24.

 

"Usahasama Cape EMS dengan Vectrix (dengan kumpulan itu memegang 60% pegangan ekuiti) untuk pembuatan dan reka bentuk stesen pertukaran bateri untuk e-basikal sedang berjalan mengikut jadual, dengan pengeluaran ditetapkan untuk bermula pada suku kedua tahun ini," katanya.

 

Kumpulan itu juga baru-baru ini telah meningkatkan kapasiti untuk rokok elektroniknya yang direka untuk pelanggan bagi memeuhi peningkatan permintaan dengan melengkapkan pemasangan sub-talian pada mesin sedia ada dan bersedia untuk menampung jumlah yang lebih tinggi daripada pelanggannya pada bulan-bulan akan datang.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli dengan harga sasaran (TP) RM1.37 sesaham. - DagangNews.com