Rakuten Trade unjur PA Resources catat pertumbuhan pendapatan kukuh bagi tempoh berbilang tahun | DagangNews Skip to main content

Rakuten Trade unjur PA Resources catat pertumbuhan pendapatan kukuh bagi tempoh berbilang tahun

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Mac - Rakuten Trade menjangkakan PA Resources Bhd berada pada kedudukan terbaik bagi mencatatkan pertumbuhan pendapatan yang kukuh bagi tempoh berbilang tahun. 

 

Katanya, pertumbuhan kumpulan itu akan didorong oleh kontrak bernilai RM1.08 bilion yang diperoleh daripada First Solar, kilang baharunya yang akan lebih daripada menggandakan kapasiti pembentukan profil dan kepingan plastik  kumpulan dan potensi pengembangan margin daripada kecekapan operasi.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu berjaya menyelesaikan pengembangan kapasiti pembentukan profil dan kepingan plastik daripada 2,600 tan kepada sekurang-kurangnya 3,200 tan sebulan baru-baru ini.

 

Kapasiti tambahan ini dijangka menyaksikan penggunaan penuh menjelang April 2024.

 

“Kami kekal optimis terhadap prospek kumpulan memandangkan First Solar merancang untuk menggandakan kapasiti pengeluarannya menjelang 2026 bagi menangani tunggakan sebanyak 80 gigawatt sehingga 2030.

 

“Selepas mengambil kira inisiatif kumpulan menaik taraf barisan pengeluaran sedia ada dan menambah barisan pengeluaran baharu bagi meningkatkan rekod prestasi cemerlang dalam kalangan pelanggan multinasional, kami meramalkan perkembangan margin melebihi 7%.

 

"Ia merupakan margin yang sangat baik dengan mengambil kira sifat perniagaan sektor pembuatan," katanya dalam satu nota kajian.

 

Rakuten Trade berkata, kumpulan itu kini memiliki kedudukan tunai bersih sebanyak RM46 juta dan berupaya menjana aliran tunai yang sihat bagi membiayai perbelanjaan modal masa hadapan melalui gabungan dana dalaman dan pinjaman bank.

 

Selaras dengan perkembangan berterusan syarikat, firma penyelidikan itu menjangkakan nisbah penggearan bersih sebanyak 0.27x menjelang FY25 dan mereka diunjur membayar dividen masing-masing sebanyak 0.7 sen dan 1.1 sen untuk FY24 dan FY25 , yang diterjemahkan kepada hasil sebanyak 2% dan 3.2% .

 

Bagaimanapun, Rakuten Trade menjangkakan nisbah pembayaran dividen yang lebih besar sebaik sahaja prospek pendapatan kukuh syarikat itu menjadi kenyataan.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 41 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com