Ramssol ‘curi’ tumpuan, saham Pasukhas, Straits, VSolar, Tanco dan Serba Dinamik paling aktif diniagakan | DagangNews Skip to main content

Ramssol ‘curi’ tumpuan, saham Pasukhas, Straits, VSolar, Tanco dan Serba Dinamik paling aktif diniagakan

Gambar Reuters

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 13 Julai - Saham Ramssol Group Berhad berjaya mencuri tumpuan pelabur pagi ini apabila mendahului kaunter paling aktif menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.

 

Syarikat penyedia perkhidmatan teknologi dan penyelesaian sumber manusia itu disenaraikan dengan harga tawaran awam awal (IPO) 45 sen dengan 78,064,000 juta saham.

 

Ini diikuti oleh saham Pasukhas Group Berhad yang berjaya melonjak 51.72% atau 0.150 sen kepada 0.440 sen setakat 9.14 pagi. 

 

Ia selepas kumpulan mengumumkan kerjasama dengan Vsolar Engineering Sdn Bhd untuk bersama-sama membida projek berkaitan solar fotovoltan (PV).

 

Impak positif turut dirasai saham Straits Inter Logistics Berhad yang meningkat 0.010 sen kepada 0.240 sen.

 

Turut aktif diniagakan pagi ini adalah saham Vsolar Group Berhad, Tanco Holdings Berhad, Asdion Berhad dan Serba Dinamik.

 

Dalam kalangan kaunter untung pagi ini, saham PPB Group Berhad mencatatkan keuntungan tertinggi dengan harga sahamnya melonjak 0.20 sen kepada RM18.38.

 

Ini diikuti oleh saham Hartalega Holdings Berhad yang menokok 0.16 sen kepada RM7.02. 

 

Menariknya, pengumuman Pasukhas berhubung kerjasama projek Solar turut meletakkan kumpulan dalam kaunter untung pagi ini. 

 

Sementara, Genetec Technology Berhad terpelosot ke kaunter rugi dengan harga sahamnya merosot 0.40 sen kepada RM16.30. 

 

‘Teguran’ Bursa Malaysia terhadap kenaikan mendadak harga dan jumlah saham UMS Holdings Berhad memberi tamparan buat kumpulan apabila turut ‘tergolong’ dalam kalangan kaunter rugi. 

 

Harga sahamnya menyusut 0.17 sen kepada RM2.85.

 

Secara keseluruhannya, pasaran saham tempatan dibuka tinggi sedikit hari ini, menokok 2.07 mata atau 0.14% kepada 1,514.96 setakat 9.01 pagi, daripada 1,512.89 mata, paras yang ditutup petang semalam. 

 

Ketika laporan ditulis, terdapat sebanyak 125 kaunter untung yang mengatasi 61 kaunter rugi. - DagangNews.com