Rancangan pembesaran Hospital Gleneagles dijangka tarik lebih ramai pelancong perubatan - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Rancangan pembesaran Hospital Gleneagles dijangka tarik lebih ramai pelancong perubatan - MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Jan - Rancangan pembesaran Hospital Gleneagles Kuala Lumpur menerusi kerjasama IHH Healthcare Berhad dan Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) dijangka memenuhi permintaan yang semakin bertambah dalam sektor penjagaan kesihatan selain menarik lebih ramai pelancong perubatan.

 

MIDF Research berkata, menerusi rancangan itu, hospital tersebut akan memasuki fasa pertumbuhan baharu dan menjadi antara hospital swasta terbesar di Malaysia dengan memiliki lebih 700 katil.

 

Katanya, kerjasama itu adalah bagi pembangunan blok perubatan baharu bersebelahan kompleks Hospital Gleneagles dan kemudahan baharu itu akan dipajak daripada PHB untuk tempoh awal selama 20 tahun.

 

"Blok perubatan baharu yang akan dibina itu melibatkan kawasan lantai seluas 470,00 kaki persegi dan dilengkapi dengan lebih 260 katil.

 

"Projek ini dijangka siap pada 2027 dan tertakluk kepada kelulusan kawal selia," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Menerusi perjanjian kerjasama itu, blok perubatan baharu itu akan dilengkapi dengan kemudahan terkini bertujuan menyediakan pesakit dengan penjagaan khusus dan sub kepakaran baru muncul seperti pembedahan mikro dan tangan, kaki dan buku lali serta tulang belakang.

 

Ia juga direka khusus dengan peruntukan yang tinggi bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk penjagaan pesakit individu.

 

Kerjasama itu juga adalah selaras dengan startegi IHH Helthcare bagi mengembangkan ketersediaan penjagaan kesihatan berkualiti di seluruh rangkaian hospitalnya.

 

Firma penyelidikan itu yakin bahawa kerjasama antara IHH Healthcare dan PHB sejak 2011 untuk Hospital Gleneagles terbukti sebagai perkongsian yang kukuh dan strategik.

 

"Kehadiran kukuh IHH Healthcare dalam sektor penjagaan kesihatan swasta serta peningkatan permintaan perkhidmatan penjagaan kesihatan sejajar dengan populasi yang semakin menua.

 

"Permintaan yang lebih tinggi untuk rawatan asas dan pembedahan daripada pesakit tempatan serta pelancong perubatan juga dilihat memberi kesan jangka panjang yang positif," katanya.

 

IHH Healthcare merupakan antara penyedia penjagaan kesihatan swasta terbesar di Malaysia, dengan kira-kira 3,000 katil.

 

Rangkaian penjagaan kesihatan itu terdiri daripada 11 Hospital Pantai, empat Hospital Gleneagles dan Pusat Perubatan Prince Court dan rangkaian klinik penjagaan primer di bawah Pusat Perubatan Menara Berkembar.

MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM7.08 sesaham.- DagangNews.com