Rayuan doktor kontrak ke jawatan tetap akan dibawa ke Kabinet - PM | DagangNews Skip to main content

Rayuan doktor kontrak ke jawatan tetap akan dibawa ke Kabinet - PM

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kredit gambar Harian Metro.

KUALA LUMPUR 13 Julai - Isu berkaitan rayuan doktor-doktor kontrak yang mahu dilantik ke jawatan tetap dalam sektor perkhidmatan awam akan dibawa dan dibincangkan bersama jemaah menteri.

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, isu berkenaan perlu dibincangkan dengan teliti kerana melibatkan kos yang tinggi lebih RM2 bilion kepada kerajaan. 

 

"Ada rayuan daripada doktor-doktor kontrak, jadi kertas cadangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan dibawa ke mesyuarat jemaah menteri.

 

“Kalau kita hendak (tunaikan permintaan) itu ia akan libatkan kos yang tinggi lebih dari RM2 bilion dalam keadaan sekarang ada keterbatasan sikit jadi kita tengoklah macam mana keadaan yang dapat kita atasi.

 

“Mereka meminta untuk dijadikan jawatan tetap dan sebagainya, ini saya telah minta untuk dibawa ke jemaah menteri kerana kita akan bincang apa keputusan yang munasabah,” katanya.

 

Beliau berkata demikian selepas melawat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) seperti dilapor Bernama.

 

Terdahulu, isu berkenaan turut mendapat perhatian Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Adham Baba.

 

Beliau bagaimanapun meminta doktor kontrak agar bersabar sementara isu dihadapi mereka dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri. - DagangNews.com