ReDI pastikan agenda digitalisasi diperluas ke luar bandar - PM | DagangNews Skip to main content

ReDI pastikan agenda digitalisasi diperluas ke luar bandar - PM

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra dengan orang ramai sebaik tiba pada Majlis Pelancaran Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan Peringkat Kabangsaan dan Penjenamaan Semula Jualan Murah Keluarga Malaysia di Dataran Kerayong pada 27 Ogos 2022.

BERA 27 Ogos - Kerajaan akan memastikan agenda digitalisasi khususnya penggunaan e-dompet dalam kalangan pengguna dan peniaga diperluaskan ke kawasan luar bandar menerusi Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI), kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Perdana Menteri berkata ReDI yang dipelopori Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merupakan langkah proaktif yang tepat pada masanya dan turut disokong Bank Negara Malaysia dalam mewujudkan masyarakat digital yang inklusif.

 

Beliau berkata pada masa ini, terdapat jurang yang besar dalam pembayaran tanpa tunai antara kawasan bandar dan luar bandar, sedangkan kerajaan berhasrat

 

Beliau berkata pada masa ini, terdapat jurang yang besar dalam pembayaran tanpa tunai antara kawasan bandar dan luar bandar, sedangkan kerajaan berhasrat masyarakat di luar bandar juga tidak terpinggir daripada arus kepesatan ekonomi digital. 

 

"Kerajaan akan terus memastikan agenda digitalisasi menjadi tumpuan utama di semua peringkat termasuklah memperluas kaedah pembayaran secara elektronik ke seluruh pelosok negara.

 

"Melalui usaha ini, kerajaan yakin peralihan kepada kaedah pembayaran elektronik seperti penggunaan e-dompet bukan sahaja mudah, cepat dan selamat tetapi juga membantu peniaga mengurus perniagaan mereka dengan lebih baik dan efisien," katanya, Bernama melaporkan.

 

Ismail Sabri berkata demikian semasa berucap melancarkan Program ReDI Peringkat Kebangsaan dan Penjenamaan Semula Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) di Dataran Kerayong di sini hari ini.

 

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sebanyak 5,321 peniaga luar bandar telah berdaftar dengan Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) sehingga kini.

 

Nanta berkata program ReDI yang bertujuan merapatkan jurang digital terutama peniaga di kawasan luar bandar, menyasarkan 15,000 peniaga untuk berdaftar
menjelang 2025.

 

“Setiap tahun kita sasar 3,750 peniaga berdaftar dengan kita turut turun padang membantu mereka… kita akan lakukan program ini di seluruh negara dengan lokasi
dirancang seterusnya adalah Johor,” katanya.

 

Mengenai pelancaran ReDI hari ini, Nanta berkata lebih 1,000 daripada 4,000 peruncit di daerah ini telah berdaftar menerusi program itu.

 

Terdahulu, beliau dalam ucapannya berkata kajian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati sektor peruncitan di
bandar adalah lebih pantas beralih kepada penggunaan e-dompet berbanding sektor peruncitan di luar bandar. 

 

Menurutnya, KPDNHEP turut menyedari penggunaan e-dompet di Malaysia meningkat dengan pesat kesan daripada pandemik COVID-19 malah laporan Bank Negara juga mendapati penggunaan e-dompet telah meningkat sebanyak 131 peratus kepada melebihi 600 juta transaksi pada 2020 berbanding tahun sebelumnya. 

 

Nanta berkata sekiranya tiada langkah proaktif diambil kerajaan, golongan peniaga sektor peruncitan di luar bandar dijangka akan jauh ketinggalan dalam arus digitalisasi.

 

“Sebagai kementerian yang mengawal selia sektor peruncitan, kementerian (KPDNHEP) telah mengambil langkah proaktif untuk melaksanakan program ReDI di lokasi luar bandar terpilih dan menjadi tumpuan bagi memastikan seluruh sektor peruncitan di dalam negara dapat beralih kepada model perniagaan digital,” katanya.

 

Beliau berkata inisiatif berkenaan antara lain dapat merapatkan jurang digital di bawah sektor peruncitan yang melibatkan peniaga runcit, kedai makan, peniaga pasar malam dan pasar basah melalui penggunaan e-dompet yang lebih mudah dan selamat.

 

Bagi memastikan sasaran 15,000 peniaga kecil daripada sektor peruncitan mendaftar di bawah Program ReDI, KPDNHEP telah turun ke lapangan bersama rakan strategik penyedia perkhidmatan e-dompet seperti Touch ‘n Go, Boost, ShopeePay, GrabPay, Maybank, Paynet ke seluruh negara khususnya di luar bandar dan antara lokasi terpilih Kapit, Sarawak, Kuala Berang (Terengganu) dan Pulau Pangkor (Perak).

 

Mengenai JMKM, beliau berkata program itu mendapat sambutan menggalakkan dengan setakat 31 Julai lepas, seramai 4.2 juta orang direkodkan mengunjungi program itu di 2,433 lokasi seluruh negara.

 

Katanya JMKM di sini yang dianjurkan tiga hari bermula semalam membolehkan penduduk setempat  membeli barangan keperluan berkonsep premium yang julung kalinya diadakan di kawasan itu.- DagangNews.com