Rekod prestasi kurang cemerlang, Kenanga Research kekal barhati-hati terhadap prospek KESM Industries | DagangNews Skip to main content

Rekod prestasi kurang cemerlang, Kenanga Research kekal barhati-hati terhadap prospek KESM Industries

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Mac - Kenanga Research kekal berhati-hati terhadap prospek KESM Industries Bhd kesan daripada rekod prestasi yang kurang cemerlang.

 

Katanya, walaupun hasil kumpulan melonjak 15% hasil sumbangan positif daripada segmen automotif namun permintaan dalam sektor bukan automotif kekal lemah.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu telah melengkapkan kelayakan untuk kebanyakan mesin baharu yang diperakui untuk pengeluaran volum besar-besaran.

 

"Peralatan baharu itu membolehkan kumpulan itu menggunakan cip yang lebih canggih daripada sektor automotif memandangkan penggunaan kenderaan elektrik terus berkembang," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: KESM Industries kembali catat untung bersih sebanyak RM1.05 juta bagi 6MFY24 berbanding kerugian RM2.26 juta pada tahun sebelumnya

 

Terdahulu, hasil 1HFY24 kumpulan itu meningkat 15.2% dengan prestasi lebih baik daripada perkhidmatan burn-in dan ujiannya yang memproses cip automotif.

 

Ia berikutan penjajaran semula portfolio dan penstrukturan semula kapasiti beberapa suku yang lalu untuk berhijrah secara beransur-ansur ke dalam cip yang lebih baharu sambil mengurangkan pengeluaran produk sebelum ini.

 

Penggantian utama peralatan baharu membawa kepada peningkatan 24% dalam susut nilai apabila mesin tambahan dan peralatan ujian telah ditauliahkan untuk digunakan dalam pengeluaran.

 

Bagaimanapun, hasil 2QFY24 susut sebanyak 2.8% dan untung bersihnya juga merosot sebanyak 84.9% disebabkan ketiadaan keuntungan tukaran mata wang asing yang direalisasikan selain peningkatan susut nilai daripada pentauliahan peralatan baharu yang lebih tinggi.

 

Firma penyelidikan itu menyukai KESM Industries berdasarkan kehadirannya dalam ruang semikonduktor automotif selain menjadi antara penyedia perkhidmatan ujian dan pembakaran bebas terbesar di Malaysia yang berpotensi mendapat manfaat daripada pengembangan syarikat multinasional.

 

"Bagaimanapun, kami tetap berhati-hati dalam tempoh terdekat kerana kumpulan masih berdepan potensi risiko volum pemuatan suboptimum semasa tempoh peralihan.

 

"Kami mengekalkan saranan 'market perform' dengan harga sasaran (TP) RM7.06 sesaham," katanya. - DagangNews.com