"Renew roadtax" kini di kiosk, lebih mudah | DagangNews Skip to main content

"Renew roadtax" kini di kiosk, lebih mudah

KUALA LUMPUR 2 Julai - Segala urusan berkaitan pembaharuan cukai jalan raya dan pembelian cukai kenderaan kini menjadi lebih mudah dengan hanya menyelesaikannya melalui perkhidmatan kiosk yang disediakan.

Kemudahan tersebut adalah hasil daripada kerjasama baharu antara Zurich General Insurance Malaysia Berhad (Zurich General Insurance) dengan Finology Sdn. Bhd. (Finology) serta rakan sekutunya PayLink Global (M) Sdn. Bhd..

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Zurich General Insurance, Junior Cho, usaha tersebut adalah untuk mempermudahkan pembaharuan cukai jalan serta mengurangkan jumlah kenderaan yang tidak diinsuranskan di atas jalan raya.

"Kami sentiasa mencari penyelesaian baharu yang dapat memenuhi keperluan pengguna. Selepas hampir keseluruhan aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi semula, kami memahami pentingnya mempunyai cukai jalan dan insurans kenderaan yang sah supaya rakyat Malaysia dapat pergi kerja dengan tenang.

"Terdapat kira-kira 250 kiosk Payquik tersedia di seluruh negara dan ditempatkan di lokasi strategik seperti pejabat syarikat utiliti, pusat beli-belah dan bangunan kerajaan supaya rakyat Malaysia dapat memanfaatkan masa mereka apabila keluar membayar bil atau membeli-belah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

kiosk
Ketua Pegawai Eksekutif Zurich General Insurance Malaysia Berhad, Junior Cho.


Statistik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dari tahun 2018, kira-kira 29 juta kenderaan berdaftar dan hanya 19 juta kenderaan yang memperbaharui cukai jalan pada setiap tahun. 

Manakala kira-kira 95% daripada pengguna yang mempunyai cukai jalan yang sudah tamat tempoh adalah motosikal. 

Sementara itu, Pengarah Urusan Finology, Jared Lim berkata, kewujudan perkhidmatan kiosk ini mungkin akan menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pengguna kerana urusan tersebut boleh dilakukan dalam talian.

kiosk
Seorang pelanggan sedang memperbaharui insurans motornya di salah satu kios yang terletak di lokasi strategik.

 

"Hakikatnya masih ramai pengguna yang lebih gemar membuat pembayaran menggunakan wang tunai dan ada juga yang tidak memiliki kad kredit. Ini bermakna pengguna tidak mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan dalam talian. 

"Jadi, kiosk ini adalah alternatif terbaik dan membolehkan pengguna membuat urusan mengikut keselesaan waktu mereka kerana kiosk tersebut beroperasi 24 jam," katanya. - DagangNews.com