Rentak ‘permainan’ pelabur ekuiti berubah - CGS CIMB | DagangNews Skip to main content

Rentak ‘permainan’ pelabur ekuiti berubah - CGS CIMB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 3 Mac - Dua minggu terakhir pada bulan Februari 2021 menyaksikan rentak perdagangan oleh para pelabur di pasaran ekuiti tempatan mula berubah. 

 

Apabila wujudnya berita kehadiran vaksin COVID-19 dan setibanya ia di Malaysia pada 21 Februari lalu, para pelabur mula mengalihkan ‘perhatian’ mereka terhadap saham yang akan pulih dengan perkembangan berkenaan.

 

Ini terbukti apabila data didedahkan oleh CGS-CIMB Research mendapati kaunter sarung tangan mengheret turun indeks penanda aras FBM KLCI sehingga 76% pada tempoh dua minggu terakhir bulan lalu ekoran pengambilan keuntungan. 

 

Pada awal penularan pandemik COVID-19 tahun lalu, saham-saham sarung tangan menerima sambutan hangat dalam kalangan pelabur kerana menjadi salah satu ekuiti benefisiari virus berkenaan. 

 

“Kami mendapati terdapat peralihan sentimen terhadap pemain industri yang akan pulih selepas Malaysia mengumumkan program vaksinasi pada 24 Februari 2021. 

 

“Pada Februari, sentimen pasaran bertambah baik apabila kerajaan melonggarkan beberapa sekatan pergerakan sepanjang bulan berkenaan, melancarkan inisiatif MyDigital, menerbitkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, menerima penghantaran vaksin daripada Pfizer dan Sinovac serta melanjutkan penggantungan sementara jualan singkat harian (IDSS) dan jualan singkat harian oleh pelabur proprietari (PDT) sehingga 29 Ogos 2021 dari 28 Februari 2021,” jelas firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya.

 

Menurut CGS-CIMB, FBM KLCI mencatatkan 0.7% lonjakan pada bulan lalu dan pasaran meningkat sehingga 41.7 mata untuk mencecah paras 1,608 pada 15 Februari.

 

Bagaimanapun, FBM KLCI menunjukkan prestasi terburuk dalam pasaran ekuiti Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand (MIST) pada bulan lalu dan satu-satunya mencatatkan pulangan negatif pada dua bulan pertama 2021, tambah CGS-CIMB.

 

Baca : Mana ‘pergi’ pelabur ekuiti asing?

 

Antara puncanya adalah pengumuman Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang menguncup sehingga -5.6% pada tahun lalu, jelas CGS-CIMB. 

 

Berdasarkan data-data berkenaan, CGS-CIMB menjangkakan prestasi FBM KLCI bagi bulan ini cenderung bercampur-campur dengan purata lonjakan bulan ke bulan sebanyak 0.3% sepanjang tempoh 10 tahun dan pulangan negatif 0.4% dalam tempoh 43 tahun. 

 

“Pada Mac 2021, para pelabur akan memerhatikan perjumpaan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) pada 4 Mac, mesyuarat Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) pada 4 Mac, perjumpaan Bank Pusat Eropah (ECB) pada 11 Mac dan perjumpaan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan Amerika Syarikat (AS) (FOMC) pada 17 Mac,” tambah CGS-CIMB lanjut.

 

Selain itu, para pelabur juga akan memerhatikan musim hasil kewangan suku keempat 2020 (4Q20) yang masih berlangsung apabila Bursa Malaysia membenarkan lanjutan tempoh pengumuman selama sebulan. 

 

Dari aspek politik, para pelabur akan memerhatikan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang dijangka berlangsung pada 27 dan 28 Mac ini, ujar CGS-CIMB.

 

Sementara itu, CGS-CIMB percaya BNM akan memotong sebanyak 25 mata asas (bps) kadar dasar semalaman (OPR) pada separuh pertama 2021 (1H21) ekoran beberapa risiko penurunan terhadap prospek pertumbuhan ekonomi. 

 

Baca : Masih ada ruang OPR dikurangkan - Penganalisis

 

Untuk rekod, BNM telah memotong sebanyak empat kali OPR pada tahun lalu dan kadar itu dikekalkan pada 1.75% setakat perjumpaan MPC yang terakhir, 20 Januari lalu. - DagangNews.com