Reservoir Link terima kontrak perkhidmatan pembaikan kebocoran telaga daripada Petronas Carigali | DagangNews Skip to main content

Reservoir Link terima kontrak perkhidmatan pembaikan kebocoran telaga daripada Petronas Carigali

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Mac - Reservoir Link Energy Bhd menerusi Reservoir Link Sdn Bhd menerima kontrak daripada Petronas Carigali Sdn Bhd bagi penyediaan peralatan dan perkhidmatan pembaikan kebocoran telaga.

 

Kumpulan itu berkata, kontrak itu termasuk kerja-kerja perundingan kejuruteraan mengenai isu kebocoran telaga, perkhidmatan diagnostik dan pembaikan kebocoran telaga termasuk penyediaan kakitangan, produk serta peralatan berdasarkan panggilan.

 

Mereka juga akan menyediakan bekalan peralatan, perkhidmatan, pengedap tekanan diaktifkan dan pengedap masa diaktifkan bagi membaiki kebocoran pada peralatan serta lubang bawah selain menjalankan ujian ke atas keberkesanan penedap dalam persekitaran tekawal.

 

"Kontrak itu adalah bagi tempoh lima tahun bermula 23 Mac 2024 hingga 22 Mac 2029," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Pengarah Eksekutif Reservoir Link, Thien Chiet Chai berkata, kontrak itu merupakan yang pertama diraih pada tahun ini dan ia menekankan dedikasi mereka ke arah membina kepelbagaian portfolio dalm segmen tenaga.

 

Beliau berkata, kontrak itu mengesahkan rekod prestasi mereka dalam sektor minyak dan gas serta kerjasama dengan rakan kongsi utama seperti Petronas Carigali bagi penyediaan rumusan tenaga yang boleh dipercayai.

 

"Kami mencatatkan perkembangan penting dalam memberi tumpuan kepada sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) bagi menjamin kemampanan perniagaan bagi jangka panjang terutama apabila kerajaan serta organisasi lain giat mempromosikan penggunaan RE bagi menangani pemanasan global.

 

"Oleh itu, fokus kami adalah kepada sektor minyak dan gas serta RE kerana ia memainkan peranan penting dalam membentuk trajetori menaik kepada masa depan kumpulan," katanya. - DagangNews.com