Rexit umum pelantikan Seow Gim Shen sebagai CEO baharu, perubahan lembaga pengarah | DagangNews Skip to main content

Rexit umum pelantikan Seow Gim Shen sebagai CEO baharu, perubahan lembaga pengarah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Mac - Rexit Bhd mengumumkan pelantikan Datuk Seow Gim Shen sebagai ketua pegawai eksekutif baharunya berkuat kuasa 11 Mac 2024 menggantikan Datuk Chung Hon Cheong yang melepaskan jawatan itu pada hari sama.

 

Selain itu berlaku beberapa perubahan dalam barisan lembaga pengarah kumpulan termasuk pelantikan Wong Tack Heng sebagai ketua pegawai operasi berikutan peletakan jawatan Si Tho Yoke Meng, kata penyedia perkhidmatan insurans am itu kepada Bursa Malaysia. 

 

Pada Januari 2024, Gim Shen, bersama Metaco Assets Holdings Sdn Bhd dan Bemas Holdings Sdn Bhd membuat tawaran pengambilalihan bagi mengambil alih semua baki saham biasa dalam Rexit pada 85 sen sesaham.

 

Tawaran itu dibuat selepas ketiga-tiga pihak itu muncul sebagai pemegang saham besar baharu Rexit, memperoleh agregat 92.27 juta saham atau 53.27% kepentingan dalam kumpulan itu dengan jumlah pertimbangan tunai RM78.43 juta. 

 

Bagaimanapun, penasihat bebas MainStreet Advisers Sdn Bhd berkata, tawaran itu "tidak adil" dan "tidak munasabah".

 

Penawar bersama sedang berusaha untuk mengekalkan status penyenaraian Rexit di Pasaran ACE Bursa Securities.

 

Selain Gim Shen dan Tack Heng, Rexit juga melantik Seow Jing Hui sebagai pengarah bebas dan bukan eksekutif, mengambil jawatan itu daripada Chan Chee Yuan.

 

Pada masa yang sama, kumpulan itu melantik Teoh Wei Yee sebagai pengarah bebas dan bukan eksekutifnya, manakala Chua Oou Chuan dilantik sebagai timbalan pengerusi baharu dan pengarah bukan eksekutif bukan bebas.

 

Susulan itu, Rexit melihat peletakan jawatan Kuah Hun Liang dan Datuk Abdul Murad daripada barisan lembaga pengarah. - DagangNews.com