RHB Investment kekal 'neutral' terhadap sektor automotif | DagangNews Skip to main content

RHB Investment kekal 'neutral' terhadap sektor automotif

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Julai - RHB Investment kekal 'neutral' terhadap sektor automotif didorong kebimbangan terhadap prospek 2024 yang tidak menentu.

 

Firma itu berkata, kebanyakan saham sektor itu mencerminkan harga yang berpatutan pada masa ini.

 

Katanya, beberapa kaunter masih menawarkan hasil yang menarik seperti UMW Holdings Berhad (4%) dan MBM Resources Berhad (10%).

 

"Pilihan Utama kami masih Bermaz Auto, kerana kami berpendapat model Mazda CX-30 pemasangan tempatan yang lebih murah boleh membantu menyokong jumlah jualan, manakala jualan kereta Kia dan Peugeot terus berkembang dari asas yang rendah.

 

"Bagaimanapun kumpulan itu berdepan risiko utama termasuk pesanan dan penghantaran yang lebih lemah daripada jangkaan, serta isu rantaian bekalan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, buat masa sekarang, Perodua, Toyota dan Honda adalah satu-satunya jenama yang mempunyai masa menunggu untuk model kereta mereka.

 

Katanya, dengan permintaan dan bekalan yang sebahagian besarnya menjadi normal sekarang, kebanyakan jenama lain mempunyai tunggakan pesanan yang minimum dan biasanya mempunyai masa menunggu yang singkat.

 

"Permintaan untuk jenama mewah juga telah menjadi normal - seperti yang dibuktikan oleh masa menunggu yang singkat.

 

"Permintaan yang agak berdaya tahan untuk pasaran besar-besaran menunjukkan mungkin terdapat penurunan dagangan dalam kalangan pengguna," katanya. - DagangNews.com