RHB Investment ramal momentum dagangan kaunter pembinaan kekal kukuh didorong agihan kontrak stabil | DagangNews Skip to main content

RHB Investment ramal momentum dagangan kaunter pembinaan kekal kukuh didorong agihan kontrak stabil

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Julai - RHB Investment meramalkan momentum dagangan bagi kaunter pembinaan kekal kukuh pada suku tahun akan datang, didorong pengagihan kontrak yang stabil.

 

Katanya, ia juga disokong oleh beberapa faktor lain termasuk proses pengambilan tanah bagi projek Transit Aliran Massa (MRT3), cadangan konsep yang dikemukakan pada Januari untuk  projek Kereta Api Laju (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dan penyaiapan kajian mengenai cadangan Johor untuk sistem Transit Aliran Autonomi (ART) menjelang Ogos.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pengagihan kontrak adalah stabil dengan projek bernilai RM89 bilion sudah diberikan kepada kontraktor pada separuh pertama 2024, lebih separuh daripada nilai pada 2023 (RM146.5 bilion). 

 

"Kami berpendapat rasionalisasi subsidi diesel akan memberi kerajaan lebih ruang fiskal untuk melancarkan projek," katanya dalam atu nota kajian, hari ini.

 

RHB Investment berkata, fasa 1B Lebuhraya Pan Borneo Sabah (RM15.7 bilion) menyaksikan empat daripada 19 pakej dianugerahkan, dengan bakinya dalam peringkat penilaian akhir tender prakelayakan terbuka sebelum kemungkinan dikeluarkan pada suku ketiga tahun ini.

 

Katanya, Jalan Hubungan Sarawak Sabah Fasa 2 (RM7 bilion) menyaksikan syarikat kerjasama Maltimur Aktif Unggul dilantik sebagai kontraktor utama pada Mac, dengan pakej subkontraktor akan diberikan seterusnya.

 

Sementara itu, hartanah bukan kediaman (termasuk bangunan perindustrian) menyaksikan pertumbuhan membanggakan dengan projek bernilai RM77 bilion dianugerahkan sehingga 27 Julai 2024, berbanding RM81.7 bilion pada 2023.

 

"Ini adalah bukti peningkatan pelaburan langsung asing (FDI) di Malaysia dengan sejumlah RM83.7 bilion pelaburan diluluskan pada suku pertama tahun ini dengan pelaburan asing berjumlah 57%," katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pilihan utama mereka dalam sektor itu ialah Gamuda Bhd, Sunway Contruction Group Bhd dan Kerjaya Prospek Group Bhd berdasarkan keterlihatan pendapatan mereka bagi tempoh dua tahun akan datang.

 

Katanya, Gamuda mempunyai kehadiran yang besar di luar negara, sambil mengekalkan kaitannya di dalam negara manakala Kerjaya Prospek dan Sunway Construction bukan sahaja mempunyai urus niaga yang stabil serta pekerjaan industri yang berterusan. - DagangNews.com