RHB Investment semak turun ramalan pendapatan FY24 FGV sebanyak 25% kesan penyusutan pengeluaran buah tandan segar | DagangNews Skip to main content

RHB Investment semak turun ramalan pendapatan FY24 FGV sebanyak 25% kesan penyusutan pengeluaran buah tandan segar

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Mei - RHB Investment menyemak turun ramalan pendapatan FY24 FGV Holdings Bhd sebanyak 25% kesan penyusutan pengeluaran buah tandan segar (BTS), peningkatan kos dan penurunan pendapatan daripada syarikat bersekutu.

 

Katanya, pengeluaran BTS pada suku pertama 2024 susut 10% akibat cuaca basah dan kekurangan tenaga kerja yang berterusan sebanyak 20% di Sabah dan 50% di Sarawak.

 

Firma penyelidikan itu berkata, jumlah pengeluaran itu adalah lebih rendah daripada unjuran pengeluaran FGV antara 10% hingga 15% tetapi pengeluaran BTS pada April 2024 adalah lebih baik. 

 

"Kumpulan itu memberi panduan untuk mencatatkan pertumbuhan BTS antara 10% hingga 15% pada FY24 kerana cuaca telah kembali normal dan menjangkakan pengeluaran memuncak sebanyak dua kali iaitu pada suku kedua dan suku keempat.

 

"Mereka juga menjangkakan dapat menyelesaikan isu kekurangan tenaga kerjanya menjelang akhir suku keempat tahun ini. Kami menyemak mengurangkan unjuran pertumbuhan BTS FY24 kepada 3.7% berbanding 6%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: FGV catat kerugian bersih RM13.49 juta pada suku pertama 2024, harga sawit rendah antara punca

 

RHB Investment berkata, walaupun harga tender baja adalah lebih rendah, FGV telah menaikkan panduan kos unitnya kepada RM2,300 hingga RM2,400 bagi setiap tan daripada RM2,200 hingga RM2,300 bagi setiap tan kerana aktiviti pembajaan yang lebih tinggi pada suku akan datang.

 

Katanya, pada suku pertama, kumpulan itu telah membayar RM2.9 juta sebagai kos pembayaran balik untuk bekas pekerja tetapi telah memperuntukkan tambahan RM37 juta untuk baki pelaksanaan pembayaran balik.

 

Sementara itu, unit gula kekal untung pada suku pertama 2024, dibantu pemberian insentif sebanyak RM72 juta daripada kerajaan selain jumlah jualan meningkat 21% tetapi susut 7% dari suku tahun ke suku tahun manakala purata harga jualan (ASP) meningkat 25% dari tahun ke tahun.

 

Firma penyelidikan itu menurunkan penarafan kumpulan itu kepada 'jual' berbanding 'neutral' dengan harga sasaran (TP) RM1.20 sesaham.- DagangNews.com