RHB Research kekal saranan 'overweight' terhadap sektor penjagaan kesihatan didorong peningkatan jumlah pesakit | DagangNews Skip to main content

RHB Research kekal saranan 'overweight' terhadap sektor penjagaan kesihatan didorong peningkatan jumlah pesakit

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Mei - RHB Research mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor perkhidmatan penjagaan kesihatan berdasarkan kepada sifat defensif industri berkenaan selain memanfaatkan peningkatan bilangan pesakit tempatan dan asing.

 

Firma itu berkata, aktiviti perolehan ubat yang teguh di dalam sektor awam dan swasta seharusnya menyokong prestasi yang sihat untuk syarikat farmaseutikal di bawah liputan mereka.

 

RHB Research juga menjangkakan pertumbuhan pendapatan KPJ Healthcare Berhad disokong kecekapan operasi yang lebih baik, peningkatan dalam sumbangan daripada segmen pelancongan penjagaan kesihatan dan pertambahan pendapatan 3% kepada pendapatan 2023 disebabkan cadangan pelupusan perniagaan Indonesia yang merugikan.

 

"Kami kekal berhati-hati terhadap IHH Healthcare (IHH), kerana ia mungkin menghadapi halangan daripada kekurangan jururawat yang berterusan (terutamanya di Singapura), dan persekitaran hiperinflasi di Turki," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu, tidak menjangkakan sebarang pembelian panik daripada pengguna, kerana kebimbangan terhadap kekurangan ubat (terutamanya produk di kaunter).

 

Bagaimanapun, katanya, normalisasi harga bahan mentah dan mengurangkan kesesakan rantaian bekalan yang kemudiannya akan membawa kepada kos pengangkutan yang lebih rendah dan seharusnya mengurangkan tekanan margin pada 2023 yang seterusnya akan diimbangi oleh kadar tarif elektrik yang lebih tinggi.

 

"Kami mengekalkan saranan 'neutral' kami terhadap Kotra Industries disebabkan pelbagai masalah yang dinyatakan.

 

"Sementara itu, kami positif terhadap Duopharma Biotech, disokong oleh pendedahannya yang lebih besar kepada sektor penjagaan kesihatan swasta (43% daripada hasil 2022) yang terus menyaksikan daya tarikan pesakit yang kukuh," katanya.

 

Bagaimanapun, sektor itu berdepan pelbagai cabaran termasuk kos operasi yang lebih tinggi daripada jangkaan selain lawatan pesakit yang lebih rendah daripada jangkaan selain mekanisme penetapan harga ubat yang tidak menguntungkan daripada Kementerian Kesihatan. - DagangNews.com