RHB Research positif terhadap prospek REIT didorong perkembangan sihat ekonomi domestik | DagangNews Skip to main content

RHB Research positif terhadap prospek REIT didorong perkembangan sihat ekonomi domestik

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 April - Prospek Sektor Real Estate Investment Trust (REIT) dengan aset runcit dan perindustrian kekal positif disokong pertumbuhan ekonomi domestik yang sihat dan peningkatan kehadiran pelancong.

 

RHB Research berkata, pasukan pengurusan REIT secara amnya memberi panduan untuk kadar pengembalian sewa pertengahan satu digit yang lebih baik.

 

"Ini berikutan momentum jualan runcit yang kukuh pada tahun lalu dan segmen perindustrian terus kekal stabil, berikutan dinamik bekalan-permintaan yang menggalakkan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Cukai mewah, yang dicadangkan semasa pembentangan semula Bajet 2023, dijangka dilancarkan pada separuh kedua 2023.

 

Firma itu berkata, butiran pelaksanaan masih tidak jelas tetapi kerajaan sedang bekerjasama dengan pemain industri untuk meminimumkan sebarang kesan negatif daripada cukai yang dicadangkan.

 

"Untuk REIT di bawah liputan kami, kami berpendapat KLCCP Stapled dan Pavilion REIT akan paling terjejas kerana sasaran pasaran mereka yang lebih tinggi.

 

"Impak bersih sepatutnya minimum kerana perbelanjaan runcit akan disokong oleh peningkatan jumlah pelancong tahun ini," katanya.

 

Firma itu berkata, prospek untuk REIT kekal positif daripada permintaan tinggi dan peluang pemerolehan tetapi firma itu tetap berhati-hati dengan segmen pejabat.

 

Kataya, cabaran utama mereka kekal dalam segmen pejabat yang menyaksikan kadar penghunian lebih rendah daripada ketidakpadanan dalam penawaran dan permintaan.

 

"Walaupun segmen runcit perlu dirangsang oleh peningkatan jumlah pelancong antarabangsa namun kami tetap menyedari prospek jangka panjang berikutan bekalan masuk pusat beli-belah baharu.

 

"Kami mengekalkan saranan 'neutral' kami terhadap sektor itu," katanya. - DagangNews.com