RHB Research unjur Kotra Industries raih CAGR sebanyak 9% bermula FY23 hingga FY25 | DagangNews Skip to main content

RHB Research unjur Kotra Industries raih CAGR sebanyak 9% bermula FY23 hingga FY25

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Nov - RHB Research mengunjurkan Kotra Industries Berhad meraih kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 9% bermula FY23 hingga FY25 berdasarkan permintaan berdaya tahan untuk produk nutraseutikalnya dan peningkatan jualan eksport.

 

Firma itu berkata, kisah kejayaan pertumbuhan syarikat itu bertepatan dengan perbelanjaan penjagaan kesihatan yang semakin meningkat per kapita.

 

"Peningkatan kesedaran kesihatan dalam kalangan pengguna untuk meningkatkan imuniti terhadap COVID-19 dan penyakit tidak berjangkit (NCD) lain dijangka menjadi pemangkin penarafan semula jangka pendek dalam memacu pertumbuhan produk penjagaan kesihatan pengguna," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Firma itu berkata, memandangkan jualan eksport menggunakan dolar Amerika Syarikat (AS), ia membolehkan kumpulan itu memanfaatkan kedudukan mata wang itu yang dilihat semakin kukuh.

 

Firma itu juga melihat lebih banyak ruang untuk pertumbuhan, daripada eksport yang pulih kepada tahap pra pandemik (40-45% daripada jumlah hasil) berikutan pembukaan semula sempadan negara dan penambahan stok oleh pelanggan.

 

"Peningkatan 10% dalam dolar AS akan meningkatkan pendapatan kumpulan sebanyak 2%," katanya.

 

Firma itu memulakan liputan terhadap kumpulan itu dengan saranan 'beli' pada harga sasaran (TP) RM5.72.

 

"Saranan itu adalah berdasarkan pandangan positif kami terhadap jangkaan pemulihan dalam jualan eksport dan peningkatan jualan produk di kaunter didorong kesedaran kesihatan orang ramai yang semakin meningkat.

 

"Ini disokong oleh rekod prestasinya yang terbukti (CAGR pendapatan 3 tahun sebanyak 39% daripada FY19-FY22) selain pengiktirafan jenamanya yang kukuh," katanya. - DagangNews.com