RHB sediakan SLF bernilai RM90 juta kepada Intercontinental Specialty Fats | DagangNews Skip to main content

RHB sediakan SLF bernilai RM90 juta kepada Intercontinental Specialty Fats

Mohd Rashid Mohamad, (dua dari kiri) dan Takashi Ishigami (dua dari kanan) semasa majlis menandatangani pembiayaan berkaitan kelestarian di ibu negara, baru-baru ini.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Mac - RHB Bank Bhd memeterai perjanjian bagi menyediakan pembiayaan berkaitan kemampanan (SLF) bernilai RM90 juta kepada Intercontinental Specialty Fats Sdn Bhd (ISF), anak syarikat milik penuh Nisshin Oillio Group Ltd (NOG).

 

NOG merupakan pengeluar minyak makan terbesar Jepun manakala ISF adalah antara pengeluar lemak dan minyak khusus.

 

Di bawah terma SLF, ISF akan menikmati rebat apabila mencapai sasaran prestasi kemampanan (SPT) seperti yang dipersetujui sebelum ini.

 

SPT akan memacu kemajuan yang ketara dan boleh diukur dalam bidang utama operasi ISF, penglibatan rantaian bekalan dan keperluan pelanggan, menyumbang kepada industri minyak sawit yang lebih mampan.

 

Pengarah Urusan Kumpulan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan RHB, Mohd Rashid Mohamad berkata, pihaknya komited untuk memacu penggunaan amalan mampan merentas perniagaan dan operasi mereka.

 

Beliau berkata, pembiayaan berkaitan kemampanan yang diperluaskan kepada ISF bukan sahaja merangkumi visi bersama pihaknya kepada pembangunan mampan tetapi juga mengukuhkan peranan RHB sebagai pemangkin perubahan positif, melalui usaha kerjasama dan komitmen bersama terhadap kemampanan dan kejayaan kewangan.

 

"Kami gembira kerana berpeluang menyokong ISF dalam perjalanan kemampanan dan pertumbuhan perniagaan mereka melalui pembiayaan berkaitan kemampanan.

 

"Kerjasama kami dengan ISF menunjukkan sokongan yang tidak berbelah bahagi untuk syarikat yang mengutamakan prinsip amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

"Kami berharap untuk membuat kemajuan berlaku seiring dengan ISF, membuka jalan ke arah masa depan yang lebih mampan dan rendah karbon," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ISF, Takashi Ishigami berkata, perkongsian itu menunjukkan komitmen bersama pihaknya terhadap kemampan serta prinsip amalam alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) selain mamjukan inisiatif yang memberi impak yang lebih hijau dan inklusif.

 

"Bersama-sama, kami memacu perubahan positif dan membina dunia yang lebih mampan," katanya. - DagangNews.com