Richard Teoh dilantik CFO Tree Technologies | DagangNews Skip to main content

Richard Teoh dilantik CFO Tree Technologies

Richard Teoh

Richard Teoh

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 7 Dis. - Syarikat pengeluar kenderaan elektrik (EV) buatan tempatan pasaran ASEAN, Tree Technologies Sdn. Bhd. (Treeletrik) melantik bekas veteran Volkswagen, Richard Teoh sebagai Ketua Pegawai Kewangan.

 

Richard Teoh mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam bidang kawalan kewangan, perancangan, kepimpinan dan pengurusan. 

 

Sebelum memegang jawatan ini, beliau merupakan Pengarah Kawalan Kewangan Kumpulan di Volkswagen Group Malaysia, yang bertanggungjawab terhadap pengawasan kewangan bagi pengedaran dan pembuatan komersial kenderaan. 

 

Beliau sebelum ini telah menyandang pelbagai jawatan di peringkat pucuk pimpinan, termasuk Dominick Hunter iaitu sebuah pengeluar produk perindustrian U.K. yang telah
diperolehi oleh Parker Hannifin. 

 

Di Dominick Hunter, beliau terlibat dalam penyepaduan dan peralihan sistem dan kawalan Perancangan Sumber Perusahaan (ERP). 

 

Richard Teoh adalah seorang Akauntan Bertauliah Berkanun (FCCA) dan Akauntan Berkanun (MIA).

 

"Kami telah menyusun rapi rancangan untuk mencapai sasaran pertumbuhan Treeletrik, dan kepimpinan kewangan Richard, digabungkan dengan pengalamannya dalam industri yang berkenaan seperti automotif, pembuatan dan pembinaan.

 

"Ini sekali gus akan membantu syarikat kami memenuhi objektif pertumbuhan masing-masing,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Treeletrik, Datuk Viswanathan Menon.

 

Tree Technologies ialah anak syarikat kepada Ideanomics.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ideanomics, Alf Poor berkata, pihaknya mengalu-alukan penyertaan Richard Teoh ke dalam pasukan Treeletrik sebagai CFO.

 

"Pengalaman dan kefahaman industrinya akan membantu kami dalam segala aspek strategi pertumbuhan syarikat.

 

"Sebagai pengeluar EV terulung di rantau ASEAN, Richard akan membantu kami dalam seluruh operasi daripada pembangunan rantaian bekalan kepada pelancaran sistem bateri dan pengecasan, selain pembangunan sebidang tanah di kawasan pelabuhan," jelas beliau. - DagangNews.com