KUALA LUMPUR 19 April - Jualan kurang menjadi antara cabaran utama yang dihadapi usahawan-usahawan di Jalan Tuanku Abdul Rahman menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, tahun ini.
Ketua Pegawai Perniagaan RichWorks International Sdn. Bhd. (RichWorks), Radz Mohd. berkata, hasil dapatan itu diperoleh selepas pihaknya turun padang mendengar sendiri cabaran dihadapi peniaga di samping usahawan yang berhubung secara langsung.
"Sebahagian peniaga bazar yang kami temui menyatakan bahawa jualan mereka agak kurang berbanding pada tahun lalu.
"Malahan, ada peniaga tidak balik modal lagi berikutan 'keadaan' yang mereka hadapi," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Semalam, RichWorks melancarkan program khas, Klinik Usahawan Tik Tok Tik Tok, Buat Duit Lepas Raya dengan turun padang menyantuni dan mendengar sendiri cabaran dan isu peniaga-peniaga di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Radz berkata, meskipun sebahagian peniaga berdepan dengan cabaran jualan yang kurang namun ada saja yang berjaya tingkatkan dalam tempoh sama.
"Kami dapati kebanyakan mereka yang menyaksikan peningkatan ini bersedia lebih awal dengan sasaran pelanggan yang jelas di samping pelan pemasaran menyeluruh.
"Apatah lagi, bila usahawan itu ada ilmu ditambah panduan yang berterusan seperti diperolehi usahawan bimbingan kami dan Mentor Usahawan, Datuk Wira Dr. Azizan Osman," katanya.
Sehubungan itu, Radz memberitahu, pihaknya akan terus menyokong usahawan yang berdepan cabaran di atas dengan panduan dan bimbingan penggunaan platform digital yang menjadi perhatian ramai masa ini.
"Kami percaya masih ramai usahawan di luar sana tak sepenuhnya menggunakan peluang dan potensi di platform digital.
"Justeru itu, kami bawakan program Klinik Usahawan Tik Tok Tik Tok, Buat Duit Lepas Raya pada 16 Mei nanti untuk perkasakan bangsa usahawan dengan platform TikTok agar tidak ketinggalan berbanding pesaing mereka," jelasnya. - DagangNews.com