Ringgit dibuka tinggi pagi ini | DagangNews Skip to main content

Ringgit dibuka tinggi pagi ini

 


ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 3 Nov. - Ringgit pagi ini lebih tinggi pada RM4.1520/1560 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) didorong oleh jangkaan pengurangan 25 mata asas bagi kadar dasar semalaman (OPR) dalam mesyuarat monetari Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini. 
 
Semalam, mata wang itu ditutup pada pada RM4.1570/1620 berbanding dolar AS.

Menurut AmBank Research, ringgit lemah dengan menyusut 0.04% kepada RM4.1570 setelah diniagakan antara RM4.154 dan RM4.157. 

"Dalam masa sama, indeks FBM KLCI juga rendah, jatuh 0.03% kepada 1,466.5. Pasaran bon memulakan minggu ini dengan perlahan minggu susulan mesyuarat BNM," katanya dalam nota kajian hari ini. 

Firma penyelidikan itu menjangkakan ringgit akan bergerak pada paras sokongan RM4.1437 dan RM4.1482 manakala paras rintangan pula antara RM4.1619 dan RM4.1675. 

Berbanding mata wang utama, ringgit mengukuh 0.44% kepada RM5.348 berbanding pound dan 0.08% kepada RM3.969 berbanding euro. 

"Bagi peringkat serantau, ringgit naik 0.07% kepada RM3.042 berbanding dolar Singapura," katanya. 

Pasaran komoditi pula, jelasnya, melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh 3 hari lepas yang menyaksikan Brent naik 4.03% kepada AS$38.97 setong. 

West Texas Intermediate pula menokok 2.85% kepada AS$36.81 setong.

"Dolar AS naik sedikit 0.01%, paras tertinggi sejak 28 September di sebalik sentimen yang melingkari ketidaktentuan dalam keputusan pilihan raya AS," katanya. - DagangNews.com