Ringgit meneruskan pengukuhan | DagangNews Skip to main content

Ringgit meneruskan pengukuhan

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 18 Nov. - Harapan terhadap vaksin COVID-19 terus menyokong pasaran apabila ringgit pagi ini terus mengukuh pada RM4.100/1050 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) apabila para pelabur optimis terhadap pemulihan ekonomi global.

Semalam, mata wang tempatan itu ditutup pada RM4.1020/1060 berbanding dolar AS. 

AmBank Research menjangkakan ringgit akan diniagakan pada paras sokongan antara RM4.0896 dan RM4.0969 manakala paras rintangan, RM4.1126 dan RM4.1225.

"Dalam penutupan semalam, ringgit mengukuh untuk hari ketiga meningkat 0.26%, tertinggi dalam tempoh 10 bulan. 

"Indeks FBM KLCI pula menokok 0.66% kepada 1,610.2 mata, paras tertinggi sejak 23 Julai," katanya dalam nota kajian hari ini. 

Berbanding mata wang lain, ringgit mengukuh 0.14% kepada RM4.873 berbanding euro dan 0.17% kepada RM5.426 berbanding pound. 

Bagi mata wang serantau, ringgi diniagakan tinggi, 0.15% kepada RM3.055 berbanding dolar Singapura.

Menurut firma penyelidikan itu, dolar AS susut 0.22% kepada 92.44, paras terendah sejak 1 September ekoran beberapa data ekonomi yang bercampur-campur. 

"Ini termasuklah data jualan Oktober yang lemah berbanding jangkaan pada 0.2% bulan ke bulan daripada 0.6% bulan ke bulan pada September, pertumbuhan lemah sejak Mei 2020. 

"Pengeluaran perindustrian Oktober pula berkembang 1.1% bulan ke bulan berbanding -0.4% pada September," katanya. 

Dalam pasaran komoditi, harga minyak mentah Brent susut 0.16% kepada AS$43.75 setong manakala West Texas Intermediate terus meningkat pada hari kedua, 0.22% kepada AS$41.43 setong. 

"Kebimbangan pelaksanaan semula sekatan ekoran peningkatan jangkitan COVID-19 mungkinan akan memberi kesan kepada permintaan minyak mentah dalam jangka masa pendek. 

"Tetapi, dengan harapan terhadap vaksin COVID-19 ini akan membantu dasar-dasar OPEC+ yang lebih ketat," katanya. - DagangNews.com