Ringgit mengukuh dalam dagangan Isnin | DagangNews Skip to main content

Ringgit mengukuh dalam dagangan Isnin

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Nov. - Ringgit meneruskan pengukuhan pada Isnin apabila dibuka tinggi, RM4.0850/0930 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS). 

 

Pada Jumaat, mata wang itu ditutup RM4.0900/0940. 

 

Menurut HLIB Research, ringgit dijangka mengukuh minggu ini, sekiranya dolar AS terus lemah dengan beberapa laporan berita yang negatif kepada pasaran. 

 

"Keyakinan terhadap vaksin, pakej rangsangan dan data AS yang positif kemungkinan akan membayangi lonjakan kes COVID-19," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Sementara itu, AmBank Research menjangkakan ringgit akan diniagakan hari ini pada paras sokongan antara RM4.0765 dan RM4.0839 manakala paras rintangan antara RM4.1010 dan RM4.1091. 

 

Dolar AS pula mengukuh untuk hari kedua, meningkat 0.11% kepada 92.392 selepas paras para pelabur menggabungkan kedudukan di sebalik peningkatan jangkitan COVID-19 dan perkembangan vaksin yang positif. 

 

"Dalam masa sama, rundingan mengenai pakej rangsangan AS bagi bantuan COVID-19 juga menekan dolar sebagai aset selamat," katanya. 

 

Harga minyak pula ditutup tinggi hari ketiga dengan Brent melonjak 1.72% kepada AS$44.96 setong manakala West Texas Intermediate pula naik 0.98% kepada AS$42.15 setong didorong oleh ujian vaksin yang berjaya. 

 

"Tetapi langkah sekatan yang dilaksanakan semula akan membataskan keuntungan di beberapa negara," katanya.

 

Menurut Bernama, ringgit dijangka meneruskan momentum kenaikannya berbanding dolar AS pada minggu ini berikutan pelabur menunggu pemangkin baharu susulan perkembangan positif vaksin COVID-19 dan peningkatan harga minyak. 

 

Pfizer, Biontech dan Moderna adalah syarikat utama yang terbabit dalam pembangunan vaksin dan ia dijangka menerima kelulusan daripada pihak Pentadbir Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA) tidak lama lagi. - DagangNews.com