Rizab petroleum Malaysia dianggarkan 6.9 bilion tong, kira-kira 61% di Sarawak | DagangNews Skip to main content

Rizab petroleum Malaysia dianggarkan 6.9 bilion tong, kira-kira 61% di Sarawak

KUALA LUMPUR 15 Feb - Rizab petroleum Malaysia yang mungkin dan terbukti, diklasifikasi sebagai rizab 2P, dianggarkan berjumlah 6.9 bilion tong setara minyak (boe), di mana 4.2 bilion boe berada di Sarawak, diikuti 1.3 bilion boe di Sabah.

 

Secara amnya, rizab 2P mempunyai lebih daripada 50% peluang untuk dihasilkan secara teknikal dan ekonomik.

 

Rizab petroleum negara boleh bertahan 15 tahun berdasarkan pengiraan indeks hayat rizab, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

 

“Ini boleh dinaikkan lagi kepada 40 tahun melalui pelaburan modal yang tinggi, penggunaan teknologi baharu serta landskap pelaburan yang stabil dan berdaya saing,” kata Azalina dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

 

Jumlah itu, berdasarkan rekod Petroliam Nasional Bhd (Petronas) pada 1 Januari 2022, bermakna rizab 2P Sarawak mewakili 60.87% daripada jumlah rizab Malaysia, manakala bahagian Sabah membentuk 18.84%.

 

 

minyak

 

 

Malaysia juga mengeluarkan minyak dan gas (O&G) di perairan semenanjung, membentuk baki 1.4 bilion boe (20.29%), menurut pengiraan kasar.

 

“Petronas sentiasa giat melakukan usaha untuk menarik lebih ramai pelabur ke huluan dan hiliran O&G di Malaysia.

 

"Usaha ini penting dalam memastikan kesinambungan pelaburan modal yang tinggi untuk merangsang pertumbuhan (sektor-sektor ini dalam negara),” kata Azalina. - DagangNews.com