Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 7 Okt. - Semakan dan peningkatan jumlah yuran pengambilan pekerja asing kepada RM136 juta yang dibuat oleh syarikat Top Glove Corporation (Top Glove) dilihat dapat membantu membebaskan Perintah Sekatan Pelepasan (WRO) yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS).
CGS-CIMB berkata, syarikat berkenaan juga turut melakukan perbincangan dengan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS berkaitan beberapa permasalahan lain berkatan sekatan tersebut.
"Kami yakin pengumuman jumlah yuran pengambilan pekerja asing itu dapat membantu bebaskan sekatan WRO yang dikenakan kepada dua anak syarikat Top Glove.
"Meskipun perintah WRO hanya akan dikecualikan pada akhir tahun kewangan 2020, kami percaya keadaan ini tidak akan memberi kesan negatif terhadap anggaran perolehan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2021 hingga 2023," jelas CGS-CIMB Research.
Pada 15 Julai lalu, dua anak syarikat Top Glove iaitu Top Glove Sdn. Bhd. dan TG Medical Sdn. Bhd. dikenakan sekatan WRO.
Meskipun tiada sebab kukuh dinyatakan, sekatan tersebut dipercayai berlandaskan dakwaan bahawa Top Glove menggunakan khidmat buruh paksa.
Top Glove juga memaklumkan syarikatnya telah menanggung segala bayaran pengambilan pekerja sejak awal 2020, namun wujud kemungkinan berlaku pembayaran antara pekerja dan ejen diluar pengetahuan syarikat.
Bagaimanapun, pihaknya telah berusaha keras untuk menyelesaikan isu berkenaan termasuk memastikan jumlah bayaran yang tepat dikembalikan kepada pekerja yang sudah membuat bayaran kepada ejen masing-masing.
Semalam, Top Glove mengumumkan syarikatnya telah meningkatkan jumlah yuran pengambilan pekerja kepada RM136 juta berbanding RM53 juta pada sebelumnya.
Kesemua maklumat yang berkaitan juga telah diserahkan kepada CBP bagi mencapai penyelesaian yang cepat berhubung sekatan WRO tersebut.
CGS-CIMB Research turut mengekalkan saranan 'tambah' saham Top Glove dengan nilai sasaran sesaham (TP) pada RM10.00. - DagangNews.com