Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 13 Ogos - Dua Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan akan dibentangkan di Parlimen sekiranya kerajaan berjaya mendapatkan sokongan bi-partisan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang melebihi majoriti dua pertiga.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, RUU tersebut adalah berkaitan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja dan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti.
Jelas beliau, perkara itu adalah cadangan ketiga rangka persefahaman rentas parti yang akan dilaksanakan oleh kerajaan sekiranya usul undi percaya diluluskan.
Dalam pada itu, kerajaan juga akan memperkukuhkan reformasi parlimen dengan memastikan jumlah Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang yang menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen adalah lebih seimbang.
"Jumlah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen juga boleh ditambah untuk memastikan semua Ahli Parlimen dapat memainkan peranan semak dan imbang yang lebih berkesan menerusi penglibatan mereka dalam jawatankuasa ini.
"Sebagai pengiktirafan kepada peranan semak dan imbang di Parlimen, 50% Jawatankuasa Pilihan Khas akan dipengerusikan oleh Ahli Parlimen kerajaan dan 50% lagi oleh Ahli Parlimen pembangkang.
"Sejajar dengan jangkaan bebanan tugas yang akan bertambah dalam melaksanakan fungsi semak dan imbang yang lebih efektif, Kerajaan akan menyediakan kakitangan sokongan dan saraan yang berpatutan kepada semua Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen," katanya dalam sidang media khas hari ini.
Mengulas lanjut, beliau turut memberitahu bahawa kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan Undi 18 tanpa menunggu pelaksanaan pendaftaran automatik yang akan mengambil masa.
Susulan itu, satu Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan akan dibentangkan di Parlimen untuk tujuan berkenaan.
"Saya berharap, dengan adanya kerjasama bi-partisan di Parlimen, rang undang-undang ini akan dapat diluluskan," jelas beliau. - DagangNews.com