KUALA LUMPUR 25 Julai - Sabah memperoleh anggaran hasil jualan RM120 juta hasil jualan kargo minyak mentah terkini melalui kepentingan 50% dalam kontrak perkongsian pengeluaran Samarang (PSC) pada Selasa.
Pengambilalihan strategik 50% kepentingan oleh SMJ Energy Sdn Bhd (SMJE) pada Mei tahun lalu itu membenarkan Sabah memasarkan kelayakan minyak mentahnya melalui Terminal Minyak Mentah Labuan (LCOT).
“Lima kargo telah dijual sehingga kini, menjana hampir RM700 juta hasil jualan terkumpul.
"Urus niaga ini dijangka memberikan hasil mampan dalam tempoh 12 tahun akan datang yang akan meningkatkan ekonomi negeri secara ketara," kata SMJE dalam satu kenyataan.
Sementara itu, peranan Sabah dalam sektor minyak dan gas merupakan hasil daripada Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) ditandatangani bersama PETRONAS pada 7 Disember 2021.
Perjanjian itu memudahkan perkongsian hasil negeri, membuka peluang penyertaan, dan memberi pengaruh penting dalam rantaian nilai minyak dan gas Sabah.
SMJE baru-baru ini mengumumkan keputusan kewangan auditnya bagi tahun 2023, menunjukkan keuntungan sebanyak RM259 juta selepas potongan cukai.- DagangNews.com