ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 7 Okt. - Saham syarikat penerbangan AirAsia X Bhd. susut 10% ketika ditutup petang ini kepada 4.5 sen sesaham dengan nilai permodalan pasaran RM228.15 juta.
Berdasarkan data Bloomberg, saham AirAsia X menyusut sehingga 71 peratus tahun ini.
Semalam, syarikat penerbangan ini mengumumkan pelan penstrukturan semula yang dijangka selesai menjelang akhir suku tahun kewangan akan datang, menghapuskan hampir RM63.5 bilion hutang.
Pelan itu juga bagi menyelamatkan AirAsia X daripada ditutup apabila pandemik COVID-19 dilihat terus menjejaskan perjalanan udara.
Cadangan itu memerlukan kelulusan daripada pelabur dan penyedia pinjaman.
Bagaimanapun, pelan penstrukturan AirAsia X itu menerima reaksi kurang memberangsangkan daripada penganalisis pasaran yang melihat ia masih 'suram' memandangkan pandemik COVID-19 masih belum berakhir.
Bagi syarikat penerbangan itu, mereka berharap untuk memulakan semula operasi dalam pasaran terpilih ada suku pertama tahun hadapan dan memulakan semula penerbangan secara berperingkat menjelang akhir 2021.
Menurut laporan Bloomberg, penganalisis KAF Equities Sdn. Bhd., Max Koh berkata, tanpa pelan penstrukturan hutang yang meyakinkan, AirAsia X kemungkinan menjadi 'mangsa' kepada wabak COVID-19.
"Ini kerana industri penerbangan masih kelam dan pandemik ini akan terus memburukkan keadaan di kebanyakan pasaran utama syarikat penerbangan.
"Sekiranya cadangan ini diselesaikan, AirAsia X berpotensi memulakan prosiding pembubaran, tanpa memberikan apa-apa kepada pemiutang," katanya.
Dalam pada itu, Public Investment Bank menyifatkan langkah penstrukturan itu penting dalam menangani aliran tunai dan kekangan kecairan yang dihadapi oleh syarikat penerbangan berkenaan.
MIDF Research pula berpendapat para pemiutang akan bersetuju dengan cadangan itu tetapi terpaksa berpuas hati untuk mendapatkan hanya sebahagian kecil modal yang dijangka dibayar semula dalam tempoh tiga tahun selepas penstrukturan dijalankan.- Dagangnews.com