Saham BFood mencanak, Starbucks akan terus pacu prestasi jualan | DagangNews Skip to main content

Saham BFood mencanak, Starbucks akan terus pacu prestasi jualan

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Saham Berjaya Food Bhd. (BFood) pagi ini dibuka setinggi 5.7% ekoran prestasi kewangannya yang kukuh.

 

Setakat 10.21 pagi ini, sahamnya berada dalam kalangan kaunter yang mencatat keuntungan dengan menokok 4 sen atau 2.09% kepada RM1.95 dengan 198,800 saham diniagakan.

 

CGS-CIMB melihat BFood sebagai saham pemulihan pasca pandemik yang menarik, justeru mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran RM3.25.

 

"Kami menjangkakan BFood akan merekodkan pertumbuhan pendapatan yang kukuh bagi tahun kewangan 2022 apabila kedai-kedai makan kembali pulih dengan sekatan pergerakan dilonggarkan," tambahnya.

 

Menurut firma itu, BFood akan mempercepatkan pembukaan cawangan Starbucks antara 25 hingga 30 sejajar dengan sasarannya sebelum pandemik COVID-19.

 

Setakat ini, ia telah membuka 11 cawangan bagi tahun kewangan 2021. 

 

"Dalam pada itu, kami turut menjangkakan jualan Kenny Rogers akan kembali pulih bagi tahun kewangan 2022 kerana restorannya lebih bergantung kepada dine-in," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Baca : Program ganjaran Starbuck antara penyumbang lonjakan keuntungan Q4 Berjaya Food 

 

BFood kembali meraih keuntungan apabila mencatatkan untung bersih sebanyak RM47.36 juta dalam tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021 berbanding kerugian bersih RM19.58 juta pada tahun kewangan 2020.

 

Hasil pada tahun kewangan 2021 meningkat kepada RM717.27 juta daripada RM632.94 juta sebelumnya susulan kelonggaran secara berperingkat langkah-langkah kawalan pergerakan sejak suku pertama berakhir 30 September 2020 yang membawa kepada pertumbuhan tinggi jualan kedai yang sama kumpulan. 

 

Bagi suku keempat tahun kewangan 2021, BFood juga menyaksikan pendapatannya kembali positif dengan keuntungan bersih sebanyak RM14.27 juta berbanding kerugian bersih RM30.16 juta dalam suku yang sama tahun lalu dengan hasil meningkat kepada RM180.72 juta daripada RM111.57 juta sebelumnya.

 

Sementara itu, AmInvestment Bank Research menaikkan unjuran pendapatan BFood bagi tahun kewangan 2022 dan 2023 masing-masing kepada 6% dan 16%.

 

Malah, ia turut menjangkakan perniagaan kumpulan akan berkembang apabila ekonomi dibuka semula pada suku keempat ini.

 

"Segmen Starbucks khususnya mempamerkan prestasi yang kukuh dan di luar jangkaan meskipun pusat beli-belah ditutup pada suku sebelum ini.

 

"Kami percaya, penambahbaikan yang dibuat terhadap model perniagaan Starbucks meletakkan kedudukan yang kukuh di setiap cawangannya apabila jumlah pengunjung kembali pulih nanti," katanya..

 

AmInvestment mengekalkan saranan 'beli' bagi saham BFood dengan harga saksama pada RM2.23 berbanding RM2.16 sebelum ini.

 

"Kami melihat BFood memiliki kedudukan yang unik dengan meraih manfaat bagi perkhidmatan penghantaran dan juga pelan pengembangan pada tahun kewangan 2022 di samping mempamerkan pendapatan kukuh di sebalik pelaksanaan sekatan pergerakan," katanya.  

 

Bagaimanapun, firma itu menjangkakan prestasi lemah menerusi Kenny Rogers Roasters akan berterusan pada suku seterusnya.

 

Katanya, walaupun Kenny Rogers melaksanakan pelbagai penambahbaikan termasuk menutup cawangan yang kurang sambutan, tetapi prestasi bagi suku keempat merosot disebabkan sekatan pergerakan.

 

Mengenai segmen baharu kumpulan, Sala, katanya, ia menyaksikan pelan pengembangan yang perlahan setakat ini dan hanya menyumbang kurang 1% kepada pendapatan kumpulan. - DagangNews.com