Saham Farm Price catat premium 100% pada penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Saham Farm Price catat premium 100% pada penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Mei - Farm Price Holdings Bhd membuat penampilan sulungnya di Pasaran ACE dengan premium 100% sebanyak 48 sen berbanding tawaran awam permulaan (IPO) 24 sen sesaham.

 

Pada loceng pembukaan, kaunter saham itu menyaksikan 7.67 juta saham bertukar tangan.

 

Kumpulan itu berjaya mengumpul sejumlah RM24.5 juta daripada IPO.

 

Daripada jumlah itu RM6.40 juta (26.14%) akan digunakan untuk pembinaan kemudahan operasi tambahan dan berkaitan di pusat pengedaran Senai manakala RM2 juta (8.17%) diperuntukkan untuk pembelian mesin, peralatan dan logistik serta pengangkutan.

 

Sejumlah RM1.6 juta (6.54%) diperuntukkan untuk pusat pengagihan dan perolehan wilayah manakala RM10.58 juta (43.22%) dikhaskan untuk modal kerja, dengan baki RM3.9 juta (15.93%) untuk menampung perbelanjaan penyenaraian. 

 

Pengarah Urusan Farm Price, Dr Tiong Lee Chian berkata, kumpulan itu merancang untuk mengembangkan pusat pengedaran di Senai dengan kawasan binaan tambahan kira-kira 84,790 kaki persegi, bagi meningkatkan kapasiti bilik sejuk daripada 29,669 palet kepada sekitar 40,000 palet apabila siap.

 

Beliau berkata, dengan ruang tambahan, kumpulan itu akan melabur dalam jentera dan peralatan baharu bagi menampung jangkaan peningkatan dalam tempahan pelanggan selain mengurangkan penggunaan buruh dan mengembangkan armada pengangkutannya untuk menampung perkembangan dan pertumbuhan perniagaan.

 

"Kami sedang meluaskan jejak kami ke kawasan tengah Semenanjung Malaysia dengan menubuhkan pusat pengedaran wilayah tambahan di Nilai, Negeri Sembilan dan Cameron Highlands, Pahang.

 

"Kumpulan juga sedang menubuhkan pejabat jualan dan pemasaran di Singapura untuk memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat untuk hasil segar kami di rantau ini. Singapura menyumbang satu perempat daripada jumlah hasil kumpulan FY23 dan memberikan margin keuntungan yang lebih tinggi.
 

"Farm Price mengiktiraf potensi pertumbuhan ketara dalam industri sayur-sayuran segar dengan bahagian pasaran kami kekal di bawah 1% di Malaysia dan Singapura," katanya.- DagangNews.com