Saham Genetec kembali tercorot, YBS, BCMALL, Hwa Tai, Lambo, DNeX paling aktif | DagangNews Skip to main content

Saham Genetec kembali tercorot, YBS, BCMALL, Hwa Tai, Lambo, DNeX paling aktif

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Julai - Pasaran saham tempatan berjaya dibuka tinggi sedikit pada pagi ini, menokok 0.59 mata kepada paras 1,528.21, namun menyusut semula selepas enam minit didagangkan. 

 

Pada 9.06 pagi, indeks penanda aras utama, FBM KLCI merosot semula 0.60 mata atau 0.04% kepada 1,527.02 daripada paras yang ditutup petang semalam, 1,527.62.

 

Beralih kepada kaunter paling untung, saham YBS International Berhad menjadi tumpuan positif oleh para pelabur dengan harga sahamnya melonjak 2 sen kepada 54 sen setakat 9.09 pagi. 

 

Impak positif itu turut dirasai saham BCM Alliance Berhad yang menokok 36.84% kepada 13 sen dua minit selepas itu, pada 9.11 pagi. 

 

Ini diikuti oleh Hwa Tai Industries Berhad, Lambo Group Berhad dan Dagang Nexchange Berhad. 

 

Dalam kalangan kaunter paling untung pula, Vitrox Corporation Berhad menyaksikan lonjakan harga saham tertinggi sebanyak 92 sen kepada RM18.50 setakat 9.15 pagi. 

 

Ini diikuti oleh saham Kumpulan H & L High-Tech Berhad yang meningkat 27 sen atau 5.48% kepada RM5.20. 

 

Turut beraksi positif dalam kaunter tersebut adalah saham B.I.G. Industries Berhad, Transocean Holdings Berhad, Allianz Malaysia Berhad, Widetech (Malaysia) Berhad dan Hong Leong Bank Berhad. 

 

Sementara saham Genetec Technology Berhad sebaliknya kembali ‘mengungguli’ kaunter paling rugi pada dagangan pagi ini, merosot 60 sen kepada RM18.12 setakat 9.20 pagi. 

 

Baca : KLCI, ringgit berakhir tinggi, saham Genetec paling untung, Rapid pula rugi

 

Tempias negatif itu turut dirasai saham Petronas Dagangan Berhad dan PPB Group Berhad, di mana masing-masing menyusut 26 sen kepada RM18.60 dan menurun 2 sen kepada RM18.48. 

 

Secara keseluruhannya, indeks utama pasaran tempatan berprestasi agak positif dengan jumlah kaunter untung iaitu sebanyak 196 mengatasi jumlah kaunter rugi sebanyak 91.

 

Sektor teknologi, tenaga dan perkhidmatan kewangan telah memberi lonjakan kecil kepada FBM KLCI untuk dibuka tinggi sedikit pagi ini. - DagangNews.com