Saham ITMAX melonjak kepada RM1.52 dalam penampilan sulungnya di Pasaran Utama | DagangNews Skip to main content

Saham ITMAX melonjak kepada RM1.52 dalam penampilan sulungnya di Pasaran Utama

KUALA LUMPUR 13 Dis - ITMAX System Berhad memulakan penampilan sulung di Pasaran Utama Bursa Malaysia dengan harga RM1.52, premium sebanyak 45 sen daripada harga terbitan RM1.07. 

 

Pada loceng pembukaan, kaunternya menyaksikan sebanyak 18.53 juta saham bertukar tangan.

 

Pembekal sistem rangkaian ruang awam itu telah mengumpul RM203.89 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO).

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif William Tan Wei Lun berkata, dana yang diperoleh akan digunakan bagi merealisasikan komitmen untuk terus membangun dan membina bandar pintar. 

 

"Kami juga akan mengembangkan infrastruktur sistem telekomunikasi dan data untuk memastikan kami mempunyai asas yang kukuh untuk menyokong sistem,” katanya, lapor Bernama hari ini. 

 

Daripada jumlah hasil yang dijana, ITMAX telah memperuntukkan RM85 juta untuk pengembangan aplikasi bandar pintarnya, manakala RM12.50 juta dan RM20 juta telah diketepikan masing-masing untuk pengembangan keupayaan penyelidikan dan pembangunan serta pasaran perusahaan.

 

Sebanyak RM39.50 juta lagi diperuntukkan untuk pengembangan infrastruktur rangkaian dan telekomunikasi, RM29.08 juta untuk modal kerja manakala RM8 juta untuk pembayaran balik pinjaman.

 

Mengenai rancangan pengembangan, William berkata syarikat itu merancang untuk memberi tumpuan kepada sumbernya untuk mengembangkan perniagaan ke negeri-negeri lain di Malaysia dengan memperkenalkan kamera dan aksesori berkaitan ke pasaran.

 

“Kami menyediakan pengawasan video dengan menjana statistik dan laporan menggunakan kecerdasan buatan. Kami menyasar untuk membawa sistem itu ke semua bandar utama di Malaysia. Ini penting, terutamanya memandangkan pengawasan video di kebanyakan bandar mempunyai kurang daripada 100 kamera.

 

“Kami bermula pada 2018 dengan sekitar 1,000 kamera di Kuala Lumpur dan kini kami telah memasang 5,000 kamera di bandar ini.

 

“Untuk meliputi lebih banyak titik buta, adalah ideal untuk mempunyai kira-kira 50,000 kamera di bandar. Kami akan mengambil sedikit masa tetapi saya merasakan ia boleh dicapai dalam masa 10 tahun,” katanya.

 

William berkata, nilai perolehan kontrak terkumpul syarikat berjumlah RM600 juta dengan 19 kontrak yang telah ditandatangani sehingga 2029. - DagangNews.com